Elakkan tragedi 'penggal kepala' pusingan baharu


Zainal Rashid Ahmad

HARAPNYA tidak terjadi, namun tidak mustahil berlaku sekali lagi.

“Witch hunting” atau “penggal kepala” ialah istilah tindakan balas kerajaan baharu terhadap individu, usahawan atau kumpulan profesional yang dianggap ada kaitan dengan kerajaan lama.

Ketika Pakatan Harapan (PH) menang pada 9 Mei 2018, budaya penggal kepala sangat berleluasa. Walaupun tidak menjadi dasar, namun diamalkan secara berleluasa.

Hingga “lubang cacing pun disangka tempat musuh bersembunyi”.

Elit politik akan terus berpolitik. Itu tidak dapat dielakkan dalam keadaan sekarang. Cuma, jangan sampai situasi ini menjadikan perbuatan libasan pedang “witch hunting” menerawang dan menjadi punca kezaliman.

Ops memburu dan memenggal kepala sesiapa saja secara berleluasa hanya menambahkan kecelaruan keadaan.

Apalagi dalam persekitaran politik yang kini membingungkan rakyat. Negara tidak wajar sekali lagi berdepan trauma “witch hunting”.

Pedang pembunuhan “musuh politik” tidak harus dibiar mengorbankan mangsa tidak bersalah. Kita maklum, sejak Mei 2018, dendam politik bukan setakat sesama elit politik.

Ia merebak sampai ke had di luar radius logik. Bayi dalam buaian kehilangan susu kerana ayahnya seorang pemandu kehilangan kerja kerana dianggap kakasan BN.

Ketika dendam kesumat membakar persekitaran, pemandu kepada ahli politik pun dianggap elit politik. Maka, ia turut dihapuskan atas dasar “membersihkan negara”.

Akhirnya, ops penggal kepala memangsakan begitu ramai manusia. Bukan demi pemurnian keadaan, tetapi atas dasar dendam dan syak wasangka.

Suhu politik akan terus kekal tinggi untuk beberapa bulan mendatang. Apalagi dalam keadaan yang menang belum tenang dan yang kalah tidak mengaku kalah.

Permusuhan antara elit politik akan membakar bara ketenteraman awam dan sekelip mata boleh bertukar jadi api peperangan.

Seterusnya, puak oportunis yang mendakwa sebagai wakil atau agen kerajaan baharu akan memasuki ruang-ruang berkepentingan lalu memulakan *witch hunting”.

Matlamatnya mudah: “Tendang yang ada dalam jawatan atas alasan kakasan politik lama dan tempatkan kroni kepentingan sendiri kononnya atas arahan politik.”

Ahli politik harus cepat menghidu manusia licik jenis ini. Mereka sekarang aktif bertukar seragam dan kelam-kabut menjalankan kerja-kerja membodek dan berlagak berani berteriak di barisan paling depan.

Seterusnya menyamar dengan pakaian kerajaan dan melaksanakan misi penganiayaan demi memenuhi kepentingan peribadi.

Kerajaan baharu harus peka dan mesti mengawal pergerakan anarkis politik yang akan mengerumuni pemimpin yang dijangka bakal beroleh kuasa.

Kalau dulu orang ini berwajah penyokong Dr Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim, hari ini mereka akan kalut muncul sebagai pengikut Muhyiddin Yassin atau Ahmad Zahid Hamidi.

Wajah oportunis ini akan menawarkan sokongan beralih arah. Seterusnya menyelinap masuk ke agensi kerajaan yang berpotensi dijadikan lubuk meraih keuntungan peribadi.

Kemudian, untuk berjaya, para oportunis akan melaksanakan politik ops penggal kepala atas alasan: “Ini polisi kerajaan baharu!”

Sejarah pasca Mei 2018 telah membuktikan, wajah-wajah oportunis mudah dikenali. Mereka penaja sokongan palsu dengan niat mengambil kesempatan demi mengisi kocek sendiri.

Oportunis politik merayau selepas subuh, Isnin 2 Mac. Hari pertama Muhyiddin memulakan tugas sebagai PM.

Malah, akan terus merayau hingga dini hari. Pada minggu ini hingga bulan-bulan mendatang – puak oportunis akan bertebaran di rumah-rumah orang yang telah atau dijangka bakal memiliki kuasa.

Dr Mahathir akan ditinggalkan. Anwar akan diabaikan. Sebab dalam perhitungan oportunis – dua nama ini bukan lagi prospek mendapatkan projek bagi mengisi kocek.

Nauzubillah.

Pembaharuan politik bukan kezaliman

Jangan heret dan penggal kepala penjawat awam, kumpulan profesional, usahawan dan seniman hanya kerana prasangka politik.

Biarkan penjawat awam meneruskan kerja dengan melaksanakan polisi baharu. Serahkan tanggungjawab kesinambungan bekerja dengan dasar dan panduan ke arah perubahan dasar kerajaan baharu.

Tidak perlu menendang mereka keluar hanya kerana alasan curiga atau hanya kerana sekeping dua foto mereka pernah bergambar bersama Dr Mahathir, Anwar atau Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Sekiranya negara mahu bergerak ke depan dengan kekuatan sumbangan profesional, kesinambungan keusahawan dan menjaga kebajikan penjawat awam, elit politik harus waras dalam melaksana tindakan.

Jangan sesekali kerana desakan langkah politik dan mainan para opurtunis, negara bermandi kezaliman dengan kerja-kerja jahat “ops penggal kepala”.

Dua tahun lalu “pembunuhan profesional” berleluasa kerana elit politik mencurigai semua individu yang ada kaitan dengan kerajaan BN.

“Jangan berulang, saya sudah berasa siksanya,” kata seorang bekas penjawat awam kontrak.

Menurut lelaki berusia 53 tahun ini, setelah bertugas selama sebelas tahun sebagai pembimbing motivasi di agensi kerajaan, pada penghujung Mei 2018, khidmatnya ditamatkan.

Hanya 20 hari selepas pembaharuan, belasan ribu penjawat awam kehilangan kerjaya kerana ops penggal kepala.

“Tanpa pampasan atau sebarang peluang dipindahkan ke jabatan lain, saya kehilangan kerja sekelip mata,” katanya.

Akibatnya, tujuh bulan selepas itu, mangsa kehabisan wang simpanan. Walaupun berusaha mendapatkan pekerjaaan, statusnya sebagai orang yang dikaitkan dengan kerajaan BN menyebabkan peluangnya tertutup.

“Anak sulung saya mengalami depresi apabila dihentikan belajar di universiti swasta kerana saya tidak mampu menanggung yuran pelajarannya,” katanya.

Daripada seorang yang bertahun-tahun bekerja sebagai pakar Rukun Negara, motivator hak istimewa bumiputera dan menjelaskan siasah politik Melayu, dirinya terhumban ke pasar buku terpakai atau ke pasar car boot sales sekitar ibu kota.

Dunia berniaga tepi jalan yang tidak pernah dikenalnya selama 30 tahun bekerja sebagai penjawat awam dan penjawat kontrak, kini menjadi sumber rezeki.

“Saya meniaga barangan terpakai terutama buku,” katanya.

Sekarang selepas 20 bulan, dan melihat kerajaan baharu muncul pada Ahad lepas, bekas penjawat awam ini merayu pada kepimpinan Muhyiddin untuk tidak melaksanakan dasar penggal kepala.

“Sudah-sudahlah dengan kekejaman. Kasihan rakyat bawahan. Penjawat awam, kumpulan profesional dan usahawan hanya mencari rezeki,” katanya.

Penjawat awam pula, katanya, berkhidmat berdasarkan polisi kerajaan semasa.

“Tukar polisi bukan bererti harus melaksanakan ops penggal kepala. Musuh elit politik ialah sesama lingkaran mereka. Bukan penjawat awam dan profesional yang melaksanakan kerja atas dasar “goverment of the day”, katanya.

“Saya melihat bukan puluhan orang, tetapi ribuan orang hidup merana apabila kehilangan kerja kerana dituduh kakasan BN. Kami dianggap musuh kerajaan baharu,” katanya.

Pada Mei 2019, wujud sentimen aneh: setiap orang yang berkaitan dengan kerajaan BN dan Umno dilayan seperti pencuri wang 1MDB.

“Itu sungguh menyedihkan,” katanya.

Trauma Mei 2018

Kami minum kopi di Petaling Jaya. Dia rakan bual apabila saya ingin menikmati kopi tanpa gula. Atau, sesekali menziarahinya sebagai rakan kenalan.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada kerajaan sekarang. Cuma, jangan balas dendam atau amalkan ops penggal kepala atas dasar dendam atau rasa curiga,” katanya.

Walaupun rumahnya sudah dalam proses dilelong, dia masih berharap dapat menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Saya tidak akan berani mendekati mana-mana orang politik. Saya bimbang, kerana memohon sebuah rumah PPR akan menjadikan saya mangsa penggal kepala,” katanya.

Keluhan bekas penjawat awam dan motivator kontrak ini, satu gambaran – ketakutan golongan tertentu terhadap bencana terhadap kerjaya, perniagaan dan kesenimanan apabila kerajaan bertukar.

Walaupun memiliki hubungan dengan kerajaan baharu, bekas penjawat awam ini memilih meneruskan hidup tanpa kabel politik.

“Saya sudah serik. Saya mohon rumah PPR ikut prosedur. Insyaallah dengan pembuktian saya tidak berpendapatan tetap dan dua anak masih bersekolah, saya harap nama saya dipertimbangkan,” katanya.

Elit politik jangan mangsakan sesiapa

Selain penjawat veteran, tragedi Mei 2018 juga memusnahkan banyak kehidupan anak muda. Termasuk yang mengeluarkan ratusan ribu ringgit modal perniagaan.

“Sekali pun anda semua bersengketa kerana kuasa, ingatlah… kuasa akhirnya untuk membela rakyat. Jangan aniaya hingga ada yang terpaksa menanak pasir dalam periuk nasi keluarga,” kata kenalan baru saya.

Kami berkenalan pada Oktober 2018. Ketika itu bahang kezaliman pasca PRU14 masih hangat dengan sentimen politik penggal kepala.

Setelah kehilangan bisnes kerana dianggap kroni pejabat Najib, anak muda ini kehilangan kontrak membekalkan bahan cetak dan air mineral kepada beberapa agensi JPM.

“Selisih dengan Najib hanya di majlis buka puasa di Sri Perdana. Bercakap sepatah pun tak pernah,” katanya.

Tetapi akibatnya dahsyat. Semua kontrak bekalan air dan percetakan usahawan muda ini ditamatkan begitu saja.

“Saya dilayan macam suspek 1MDB,” kata anak muda ini.

Walaupun hanya membekalkan air mineral dan menjalankan kerja-kerja percetakan skala kecil di JPM, sentimen anti Najib menyebabkan semua bisnes anak muda ini dibatalkan kerajaan baharu waktu itu.

“Memandangkan kerja-kerja saya berkaitan keperluan pejabat Najib, kerajaan baharu lihat saya macam kroni 1MDB,” katanya.

Nasib anak muda ini antara kisah tragik ops penggal kepala yang berleluasa macam teori domino.

“Apabila menteri jatuh, semua rantaian dijatuhkan kerana menteri baharu akan membawa masuk rantaian pasukannya pula,” kata anak muda ini.

Begitulah dahsyatnya kitaran politik penggal kepala.

Apa yang kita harapkan, dalam suhu politik yang sedang bergolak sekarang, agar pedang tidak dihunuskan.

Jangan sesekali mengulangi budaya penggal kepala secara sesuka hati.

Ketika anak muda ini kehilangan semua kontraknya di JPM, hidupnya berantakan.

“Ketika saya terima berita notis kontrak bisnes ditamatkan, dua anak masih kecil dan gaji isteri hanya cukup untuk belanja dapur,” katanya.

Tanpa keupayaan membayar sewa rumah dan ansuran kereta, hidup usahawan kecil ini terjejas teruk.

“Saya cuba macam-macam kerja. Paling tidak untuk memastikan sewa rumah mampu dibayar,” katanya.

Setelah 20 bulan berada dalam kesusahan, dan melihat kerajaan baharu ditubuhkan, anak muda ini hanya berdoa:

“Jangan disembelih orang yang tidak bersalah. Serta, awasi anarkis dan opurtunis yang sedang menukar topeng muka,” katanya ketika kopi sudah sejuk dalam cawan.

Saya mengaminkan katanya yang bernada doa: “Moga politik menjernihkan negara ini dari gelapnya permusuhan ke cerahnya kemanusiaan.”

Itu katanya. Itu juga impian saya. – 4 Mac, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen