Apa masa depan Azmin?


POLITIK Malaysia baru-baru ini ibarat “roller-coaster”. Naik-turun tidak menentu dalam setiap jam, malah minit. Ramai yang telah menzahirkan idea-idea mengenai landskap politik Malaysia dari kaca mata keseluruhan.  

Tulisan ini lebih berminat untuk merungkai isu yang bersifat jangka masa panjang yakni kelangsungan politik bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.  Ini bermakna Azmin berada di pihak yang menang. Barangkali, beliau mungkin akan dilantik menjadi menteri sekali lagi. Sama ada dilantik atau tidak, ia hanya bersifat sementara, iaitu sehingga pilihan raya wajib pada tahun 2023.

Daripada semua desas-desus yang timbul setakat ini, ditambah dengan alternatif yang akan saya huraikan, Azmin mempunyai 3 pilihan iaitu menubuhkan sebuah parti baru, menyertai salah sebuah parti Melayu/Islam (Bersatu, Umno atau PAS), atau menyertai Gerakan (atau parti-parti seumpamanya).

Parti baharu

Seperti yang sedia diketahui, tidak mudah untuk menubuhkan parti baharu di Semenanjung Malaysia, terutamanya dari segi kelangsungan politik jangka masa panjang.

Bagi saya, parti baharu (lazimnya parti serpihan) yang mampu bertahan dan berfungsi sebagai sebuah parti yang kuat hanyalah PAS dan PKR.  Bagi Amanah, kekuatannya sebagai parti tunggal masih tidak diuji. Bersatu pula, kemungkinan untuknya menjadi parti politik yang kuat agak tinggi, namun pada masa kini, ia masih dianggap sebagai parti baharu dari segi usia.

Dalam landskap politik sekarang, saya tidak dapat melihat wujudnya satu ruang vakum yang dapat Azmin tembus.

Sekiranya menubuhkan parti politik sayap kanan, sudah terlalu banyak parti politik berlandaskan Melayu di kedua-dua pihak (termasuk parti berlandaskan Islam, akan tetapi, parti berlandaskan Islam oleh Azmin Ali agak jauh dari realiti).  

Sekiranya menubuhkan parti berlandaskan kepelbagaian mirip PKR, walaupun peluangnya lebih cerah berbanding parti sayap kanan, namun pada pendapat saya, kecerahan tersebut masih tidak melepasi tahap ambang yang diperlukan.  

Saya khuatir Azmin tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.  Ini kerana berdasarkan pola pengundian pada pilihan raya umum 2018, 80-90% daripada pengundi Cina menjurus ke arah Pakatan Harapan (tidak kira sama ada mereka menjurus ke arah DAP atau ke arah hala tuju PH).  

Azmin agak sukar untuk mendapat sokongan daripada golongan ini kecuali wujud pengundi PH yang mengundi berdasarkan prinsip tolak BN (dan bukannya sokong PH).  Namun, saya percaya bilangan ini adalah samgat kecil.  

Bagi pengundi Cina selebihnya, undi mereka menjurus ke arah BN (atau MCA).  Untuk golongan ini, saya percaya bahawa keyakinan dan sokongan mereka adalah kukuh kepada BN (atau MCA). 

Seperti kes PH, wujud kemungkinan bahawa undi kepada BN tidak semestinya menyokong BN tetapi lebih kepada menolak PH.  

Azmin boleh menarik golongan ini ke arahnya. Namun, dari segi peratusan, bilangannya sangat kecil.  Biarpun berjaya, ia tidak sebenarnya dapat menjustifikasikan parti baru itu sebagai parti pelbagai kaum.

Secara ringkasnya, saya tidak melihat alternatif menubuhkan parti baru berkesan untuk masa depan politik Azmin Ali.

Masuk parti sedia ada

Kaedah kedua, adalah dengan menyertai sama ada Bersatu, Umno atau PAS.  Setakat penulisan ini, dikatakan Azmin sudah menyertai Bersatu. Kita cuba abaikan fakta parti mana yang Azmin sudah sertai memandangkan landskap politik kini masih sangat tidak stabil (fluid).  

Ketiga-tiga parti ini boleh dikatakan sebagai parti yang kuat dengan struktur parti yang agak tegar.  

Seperti biasa, dalam mana-mana parti politik yang sedemikian, tidak mudah untuk unsur baru (untuk kes sekarang, dimaksudkan individu baru) meresap ke dalam parti.  Biarpun wujud, ia lazimnya bersifat en-bloc (keseluruhan) seperti berlakunya kerjasama Umno-PAS.  

Memandangkan kedua-dua parti sudah kalah, kompromi lebih mudah tercapai berlandaskan prinsip “mendapat sesuatu ganjaran lebih baik daripada tidak memiliki apa-apa”.  

Namun, dalam kes sekarang, kerjasama Bersatu-Umno-PAS berjaya membentuk kerajaan (atau berada di pihak yang menang), tidak kira parti manakah yang Azmin akan sertai, di manakah kedudukan beliau dalam parti baru itu?  

Sekiranya jawatan yang diberikan adalah tinggi, sanggupkah pemimpin parti tersebut memberi laluan kepada Azmin?  

Sekiranya jawatan yang diberikan kepada Azmin tidak terlalu tinggi, sebagai contoh, sebagai ahli majlis tertinggi, sanggupkah Azmin menerimanya.  

Oleh yang demikian, saya tidak melihat bagaimana Azmin hendak berlangsung karier politiknya di Bersatu, Umno mahupun PAS.  

Ini ditambah dengan bekas pemimpin PKR yang keluar parti mengikutinya.  

Di mana pula hendak parti tersebut menempatkan Zuraida Kamaruddin dan lain-lain lagi.  

Tidak dapat dinafikan, dalam masa singkat, beliau mungkin dapat ditempatkan di kedudukan yang tinggi.  Ini disebabkan oleh usaha dan jasa beliau dalam menjayakan pembentukan kerajaan baru.  

Namun, berbalik kepada hujah di atas, di manakah kedudukan beliau selepas PRU ke-15.  

Perbincangan ini menjurus ke arah masa depan jangka panjang dan bukan bertujuan memberi fokus utama terhadap apa yang sudah berlaku pada masa kini.

Masuk Gerakan

Alternatif ketiga adalah dengan menyertai parti Gerakan.  Langkah ini pernah didesas-desuskan sebelum ini. Walaupun ramai yang menafikannya, namun langkah ini tetap boleh dianggap sebagai salah satu alternatif walaupun risikonya tinggi dan kecenderungan pihak Azmin menyertainya dan Gerakan menerimanya adalah rendah.  

Berbanding dengan pilihan pertama dan kedua yang dibincangkan di atas, cadangan ketiga ini dilihat sebagai tidak konvensional.  

Sekiranya Azmin menyertai Gerakan dan bukannya Bersatu, Umno mahupun PAS, isu kedudukan beliau dalam Gerakan tidak menjadi masalah berbanding ketiga-tiga parti Melayu tersebut. 

Ini kerana kekuatan Gerakan kini sudah semakin lemah dan hanya hidup nyawa-nyawa ikan sahaja.  

Penyertaan Azmin sememangnya akan meningkatkan keupayaan Gerakan dari segi kepimpinan, strategi, kebolehan dan sebagainya.  

Ini ditambahkan dengan faktor penyertaan ahli Melayu yang berketokohan tinggi, sekaligus menjadikan Gerakan bersifat lebih kepelbagaian berbanding kini (Gerakan agak mirip DAP; walaupun Perlembagaan parti mereka menyatakan Gerakan sebagai parti kepelbagaian, namun secara hakikatnya, ia lebih dilihat sebagai sebuah parti Cina).  

Dengan ini, Gerakan boleh menuju ke arah kepelbagaian yang baru berbanding terus kekal berada dalam kedudukan serba salah dengan posisi politik mereka.  

Dengan kata ringkas, kelebihan yang ada pada Azmin boleh membantu Gerakan maju ke hadapan.  

Begitu juga dengan Azmin, beliau lebih mudah diterapkan dalam kepimpinan tertinggi dalam Gerakan berbanding dugaan-dugaan yang perlu beliau hadapi jika beliau menyertai mana-mana daripada tiga parti Melayu yang dibincangkan.  

Sekiranya Gerakan masih tidak berjaya meningkatkan keupayaan politiknya, beliau hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri atas kekurangan keupayaan dan bukannya disebabkan oleh politik dalaman yang menghalang kemajuan karier politiknya.

Perbezaan utama antara kaedah pertama yakni menubuhkan sebuah parti baru ala PKR dan Gerakan adalah kewujudan satu tapak yang sedia ada untuk Azmin membina strukturnya di atas, berbanding penubuhan parti baru yang memerlukan beliau bermula dari sifar.  

Tidak dinafikan, Gerakan kini sudah menjadi sangat lemah dan pilihan raya kecil Tanjong Piai hanya mampu meraihkan lebih seribu undi sahaja, namun seribu inilah yang dimaksudkan sebagai tapak asas. 

Sokongan Cina, walaupun lemah seakan MCA, namun tidak terhapus secara total, dan golongan penyokong Gerakan inilah yang boleh dijadikan alasan sebagai parti kepelbagiaan sekiranya Azmin ingin memulakan parti politik kepelbagaian. 

Namun pada masa yang sama, penyertaan Azmin turut membawa keburukan kepada kedua-dua pihak.  

Untuk pihak Azmin, Gerakan merupakan sebuah parti yang sangat lemah jika dibandingkan dengan mana-mana parti politik utama negara.  Gerakan kini sudah tiada ahli bergelar Yang Berhormat.  

Walaupun perebutan politik dalam Gerakan mungkin tidak menjadi satu halangan terhadap kedudukan Azmin dalam parti itu, namun memegang jawatan tertinggi dalam parti selemah ini akan mengurangkan kuasa perundingan (bargaining power) beliau semasa berunding dengan parti-parti politik yang lain.  

Pada masa yang sama, walaupun Azmin mempunyai ketokohan politik yang tinggi, namun liabiliti yang dipikulnya juga tidak kecil.  

Beliau dilihat oleh masyarakat Cina sebagai pengkhianat terhadap PH dan sistem demokrasi Malaysia.  

Penyertaan beliau ke dalam Gerakan mungkin akan melemahkan lagi parti Gerakan; dari nyawa-nyawa ikan bertukar menjadi nyawa-nyawa anak (atau cucu) ikan.  

Jadi, inilah pertimbangan yang perlu diambilkira oleh kepimpinan Gerakan sama ada ingin mengambil risiko untuk mengembalikan kewibawaan Gerakan seperti zaman 60-an tetapi disertakan dengan risiko kemusnahan mutlak atau meneruskan kelangsungan politik mereka secara nyawa-nyawa ikan.

Secara ringkasnya, saya agak pesimistik terhadap masa depan Azmin terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – 4 Mac, 2020.

* Dr Lau Zhe Wei adalah penolong profesor Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen