Umno, PAS perlu hormati Bersatu


KOMPAS Perikatan Nasional ini harus terletak di atas keputusan Muhyiddin Yassin.

Semalam (3 Mac 2020) sahaja, Umno Kedah sudah menetapkan pendirian supaya presiden parti Ahmad Zahid Hamidi untuk menganggotai barisan Kabinet baru.

Ini benar-benar melampau. Zahid dikenali ramai bukan kerana pencapaian beliau mengemudi negara dahulu tetapi paling terkenal dengan 47 pertuduhan (12 pecah amanah jenayah, 8 rasuah, 27 penggubahan wang haram) terhadap dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM 31 Juta.

Umno Kedah sepatutnya hormat kepada Muhyiddin!

Adakah Umno berfikir Perikatan Nasional ini mampu dibentuk tanpa kerusi “emas” Bersatu? Umno perlu dengar kata tuan, bukan cuba menjadi tuan.

Kebanyakan negeri akan/sudah jatuh ke tangan Perikatan Nasional.

Saya melihat ini sebagai satu langkah memperkasakan Bersatu di peringkat negeri.

Jika perdana menteri adalah daripada Bersatu, jawatan menteri besar dan ketua menteri juga harus letaknya kepada Bersatu. 

Tetapi, belum sempat Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan, pengerusi Barisan Nasional merangkap pengerusi Perhubungan Umno Johor sudah diangkat sebagai menteri besar Johor!

Ini tidak adil kepada Bersatu dan Muhyiddin.

Perikatan Nasional tidak akan terbentuk tanpa keizinan dan ehsan daripada Bersatu dan Muhyiddin.

Umno, PAS dan mana-mana lagi parti yang berlindung di bawah Perikatan Nasional harus hormat dan akur dengan kami. Ini paling jelas.

Bersatu. Beramanah. Bermaruah. Bukannya bersatu, bersetia, berkhidmat. – 4 Mac, 2020.

* Abdul Hannaan Khairy adalah exco Pemuda Bersatu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen