Nenek maut bersama 2 cucu dalam nahas jalan raya 


SEORANG wanita warga emas maut bersama-sama dua cucunya, masing-masingnya berumur sembilan dan empat tahun, dalam satu nahas jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sri Aman-Kuching, kira-kira 190 kilometer dari Sri Aman hari ini.

Manyi Nyubong, 70, bersama-sama Dexster Unggang Yong dan Macthilda Churai Yong, disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tersepit dalam kereta mereka yang dikatakan dilanggar dua lori dalam nahas pada kira-kira 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu malam ini berkata pemandu kereta berkenaan yang berumur 36 tahun, bersama-sama seorang lagi penumpang wanita berumur 30 tahun dan seorang bayi, satu tahun 11 bulan, cedera parah dalam nahas itu.

Kedua-dua pemandu lori yang terlibat dalam kejadian itu, kedua-duanya berumur 54 tahun, turut terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Maklumat awal mendapati salah sebuah lori itu, yang dalam perjalanan ke Sri Aman, tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan serta berlanggar dengan kereta berkenaan, sementara sebuah lagi lori yang mengekori kereta itu dari belakang tidak sempat mengelak dan menghimpit kereta itu,” katanya sambil menambah mangsa yang cedera dan maut telah dibawa ke Hospital Sri Aman, masing-masing untuk rawatan lanjut dan bedah siasat. – Bernama, 3 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen