PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menghentam Washington kerana media milik Rusia, RT perlu didaftar sebagai “agensi luar” di Amerika Syarikat (AS).
Tindakan Washington itu disifat Putin sebagai satu “serangan” terhadap media milik Rusia itu, dan berjanji akan “membalas balik serangan” itu.
Pihak RT sebelum ini berkata Jabatan Kehakiman AS telah memberi tempoh sehingga Isnin ini untuk mendaftar operasinya di AS sebagai agensi luar atau tindakan akan diambil terhadap ketua RT selain akaun juga akan dibekukan.
“Serangan terhadap media kita bermaksud serangan terhadap kebebasan bersuara,” kata Putin kepada wartawan ketika Sidang Kemuncak APEC di Vietnam.
“Mereka memilih memberi jalan mati (kepada RT),” kata Putin menambah, “Akan ada tindak balas wajar terhadap itu.”
RT, sebelum ini dikenali sebagai Russia Today, adalah syarikat penyiaran yang dikawal Kremlin.
Selain RT, agensi milik negara Rusia, Sputnik juga telah dituduh oleh perisikan AS kerana menyebarkan maklumat salah dan telah mempengaruhi pengundi ketika kempen dan pilihanraya presiden 2016.
Perkara itu telah menyebabkan Jabatan Kehakiman AS mendesak RT untuk mendaftar sebagai “agensi asing” di AS, di bawah Akta Pendaftaran Agensi Asing yang mana akta itu ditujukan kepada pelobi dan peguam yang mewakili kepentingan politik luar dari AS.
Jumaat lalu, RT berkata mereka akan mempertimbangkan tuntutan AS itu dan membawa isu ini untuk dicabar di mahkamah.
“Kami kecewa. Tidak ada dan tidak mungkin wujud bukti media kami campur tangan.
“Media meluahkan pandangannya. Kamu boleh berhujah kembali tetapi bukan dengan menutup terus atau mencetus keadaan yang membuatkan mereka terpaksa berhenti dari bertindak secara profesional,” kata Putin menambah modal RT untuk pengiklanan bagai langit dan bumi berbanding dengan kos operasi kempen pilihan raya AS itu. – AFP, 12 November, 2017.
Komen