Lelaki bawa 800 liter diesel tanpa dokumen ditahan


PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) Sibu menahan seorang lelaki tempatan berusia 50an kerana disyaki membawa 800 liter diesel tanpa sebarang dokumen di Jalan Salim hari ini.

Penahanan tersebut dibuat pada 7.15 pagi tadi ketika lelaki itu sedang mengangkut empat tong berisi diesel menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Pemandu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa minyak berkenaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dia disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual tanpa kebenaran,” kata Komander PPM W5 Sarawak ACP Shamsol Kassim dalam satu kenyataan di Sibu hari ini.

Suspek bersama barang rampasan bernilai RM81,704 kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal PPM W5 Sibu untuk diserahkan kepada KPDNHEP Bahagian Sibu.– Bernama, 3 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen