PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu diberikan peluang untuk membuktikan dirinya, kata Najib Razak.
Katanya, tumpuan perdana menteri baharu itu sepatutnya kepada pemulihan ekonomi dan mengembalikan keyakinan rakyat.
“Berikan dia peluang sebagai PM baharu. Tanggungjawab besar, cabaran berat, tetapi kita semua perlu bekerjasama untuk mencapai apa yang terbaik untuk rakyat dan negara,” kata Najib kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.
Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu hadir di perbicaraan kes SRC International, hari ini.
Ditanya jika Muhyiddin boleh melepasi usul undi tidak percaya di Parlimen, Najib berkata “Kami percaya kami ada nombor (sokongan cukup).”
“Tetapi, tumpuan sekarang patutnya kepada ekonomi untuk pastikan ia dalam keadaan baik dan mengembalikan keyakinan,” tambahnya.
Perubahan kerajaan berlaku selepas seminggu kemelut politik menyaksikan usaha Muhyiddin, bekas timbalan presiden PKR Mohamaed Azmin Ali, Umno dan PAS untuk membentuk pakatan baharu.
Muhyiddin mengangkat sumpah selaku perdana menteri pada 1 Mac, tetapi PH mempersoalkan majoriti dimilikinya dan mendesak sidang khas Dewan Rakyat diadakan untuk menguji sokongan ahli Parlimen terhadap Muhyiddin. – 3 Mac, 2020.
Komen