AMERIKA Syarikat (AS) hari ini menggesa semua negara dan pihak menghormati kedaulatan Lubnan berikutan peletakan jawatan perdana menterinya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara mengejut dari Riyadh pada minggu lalu, Saad Hariri berkata dia bimbang keselamatan dirinya dan menuduh Iran dan sekutunya, Hizbullah mengambil alih Lubnan serta mengganggu kstabilan wilayah itu.
Kenyataan Hariri telah mencetuskan kebimbangan bahawa Lubnan akan dibahagikan kepada kem-kem saingan yang diketuai Hariri dan Hizbullah.
“Amerika Syarikat menyeru supaya semua negara dan pihak menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan proses perlembagaan Lubnan,” kata Setiausaha Akhbar White House Sarah Sanders dalam satu kenyataan.
AS menganggap Hariri seorang “rakan yang dipercayai” dan “bertegas yang Angkatan Bersenjata Lubnan dan pasukan keselamatan lain Lubnan adalah pihak berkuasa yang sah di Lubnan.”
“Dalam waktu yang sensitif ini, Amerika Syarikat turut menolak sebarang usaha tentera (militia) di Lubnan atau oleh mana-mana tentera asing untuk menggugat kestabilan Lubnan, melemahkan institusi kerajaan Lubnan, atau menggunakan Lubnan sebagai pangkalan untuk mengancam negara lain di rantau ini,” kata kenyataan itu.
Kenyataan White House itu menyusul rayuan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara Rex Tillerson pada Jumaat, yang melakukan lawatan ke Asia bersama Presiden Donald Trump. Tillerson memberi amaran kepada negara-negara lain agar tidak menggunakan Lubnan untuk konflik proksi. – AFP, 11 November, 2017.
Komen