MOHAMED Azmin Ali, arkitek kepada tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggesa polis menggugurkan siasatan terhadap pengkritik pakatan itu.
Ahli Parlimen Gombak itu mempertahankan hak penunjuk perasaan yang berhimpun pada hujung minggu lalu untuk membantah pengambilalihan kuasa itu, untuk meluahkan perasaan mereka di perhimpunan umum.
“Hak semua rakyat Malaysia untuk protes secara aman atau meluahkan pandangan mereka tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Ada banyak pandangan disuarakan berkenaan perkembangan politik sejak minggu lalu, tetapi daripada kita terlebih sensitif tentang mereka, saya percaya pandangan berbeza adalah asas untuk demokrasi yang sihat.
“Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa membenarkan masyarakat umum meluahkan perasaan mereka, dan mereka yang terbabit dalam protes secara aman tidak tertakluk kepada siasatan polis.”
Azmin yang juga sebahagian pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu, mencetuskan keruntuhan kerajaan itu apabila beliau dan 10 ahli Parlimen keluar daripada PKR untuk membentuk kerajaan baharu dengan sokongan pesaingnya Umno dan PAS.
Turut bersama mereka ialah Bersatu, bekas parti komponen PH, yang membawa lebih 20 wakil rakyat menyertai gabungan baharu.
Bekas timbalan presiden PKR itu kini bekerjasama dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang dilantik sebagai perdana menteri ke-8.
Susulan keruntuhan PH dan pelantikan Muhyiddin, protes diadakan di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap kerajaan “pintu belakang”.
Sekumpulan aktivis termasuk peguam Fadiah Nadwa Fikri, ditahan sementara yang lain seperti Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir, disiasat.
Azmin menggesa pengkritik PN untuk menghormati undang-undang dan memberikan makluman awal untuk mengadakan protes. – 3 Mac, 2020.
Komen