Umno perlu calon menteri bersih, kata penganalisis


SM Amin

Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak tidak boleh dicalonkan semula sebagai anggota Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

UMNO perlu mendahulukan pemimpin bersih untuk menganggotai barisan Kabinet dan bukannya individu yang sedang berdepan kes mahkamah, kata penganalisis.

Penganalisis politik Shamsul Amri Baharuddin berkata pemimpin terkemuka Umno seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak tidak harus dicalonkan semula sebagai anggota Kabinet.

Walaupun mempunyai kuasa dan pengaruh, kedua-dua mereka perlu menunjukkan teladan yang baik dengan tidak menganggotai Kabinet baharu, kata pengkaji Universiti Kebangsaan Malaysia ini.

“Umno sekarang mesti fokus kepada pemimpin yang bersih, tanpa Najib atau Zahid,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, kes melibatkan pemimpin berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dapat dilantik memimpin kerajaan.

“Biarkan mereka berhadapan dengan kes di mahkamah dahulu melainkan peguam negara baru gugurkan kes seperti yang dilakukan oleh (bekas peguam negara) Tommy Thomas.

“Perlu selesaikan kes dulu. Ya, mereka memang ada pengaruh tetapi kedua-dua mereka tahu mereka liabiliti kepada Umno. Mereka kena tunjuk sikap yang baik,” katanya.

Najib dan Zahid kini berdepan pelbagai kes di mahkamah antaranya melibatkan tuduhan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata Umno juga perlu mengambil sikap demikian kerana ia bukan lagi parti dominan dalam gabungan itu.

“Dengan adanya rakan pakatan yang baru, pendekatan mereka perlu berbeza,” katanya.

Beliau bagaimanapun percaya Umno kini berbeza dengan parti lama yang tewas Pilihan Raya Umum ke-14.

Selepas 22 bulan menjadi pembangkang, parti itu sudahpun menyedari kesilapan yang membawa kejatuhannya pada 2018, kata beliau.

“Ini bukan Umno yang sama, yang dibelasah oleh Dr Mahathir Mohamad hampir setengah mati. Umno bernafas kembali dengan tidak mendabik dada.

“Kesedaran ini yang membawa keinsafan, apatah lagi bersama PAS,” katanya.

Mengulas mengenai langkah yang perlu diambil Muhyiddin Yassin, Shamsul Amri berkata perdana menteri itu perlu menstabilkan kedudukannya terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu mendatang.

Jelasnya, Muhyiddin perlu mengadakan rundingan dengan semua parti komponen terlebih dahulu sebelum membentuk kerajaan.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta akar umbi meneruskan agenda memperkasakan parti di samping berusaha memulihkan imej parti bagi menghadapi PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2020.

“Setiap parti perlu membentangkan kehendak masing-masing dan mencari keseimbangan antara permintaan dan realiti.

“Selepas ia dicapai, barulah Muhyiddin memilih anggota-anggota Kabinet dan kemudian terus membina tapak-tapak integrasi antara parti supaya terus mantap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan pembentukan kerajaan yang turut dianggotai oleh Umno bukanlah kejayaan sebenar parti itu.

Jelasnya, penyelamat krisis politik yang berlangsung sejak lebih seminggu lalu adalah Umno dan PAS yang bekerjasama dalam Muafakat Nasional.

“Perebutan jawatan perdana menteri yang tidak berkesudahan, akhirnya mereka berpecah. Runtuhnya Pakatan Harapan kerana sikap mereka sendiri, bukan Umno.

“Kita penyelamat untuk pastikan negara kekal stabil. Ini bukan kerajaan Umno, Barisan Nasional atau Muafakat Nasional.

“Ini kerajaan yang kita hendak pastikan rakyat tidak berterusan berhadapan dengan konflik, negara menghadapi kemelut sehingga ekonomi jatuh,” katanya.

Justeru, beliau meminta supaya akar umbi meneruskan agenda memperkasakan parti di samping berusaha memulihkan imej parti bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Umno tidak pernah rasa selesa dan mesti terus dengan agenda memperkasakan parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat untuk berhadapan dengan pilihan raya akan datang yang saya jangkakan tidak lama lagi.

“Segala kemungkinan boleh terjadi. Kita jangan hilang fokus, jangan sesekali menjadikan kejayaan menubuhkan kerajaan ini, mengembalikan sikap angkuh dan sombong kita,” katanya.

Turut sependapat Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad yang meminta supaya jentera bekerja lebih keras untuk mempertahankan kerajaan baru.

“Kita tidak boleh rasa selesa walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Saya meminta supaya ahli-ahli meneruskan gerak kerja yang telah dilakukan sebelum ini.

“Jika dahulu kita bekerja untuk ambil alih kerajaan, sekarang ini kita perlu bekerja lebih keras lagi untuk mempertahankan kerajaan.

“Ini bukan soal parti atau kuasa tetapi kebajikan rakyat itu yang paling utama,” ujarnya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen