Singapura yakin hubungan dua hala negara terus berkembang


PM Singapura Lee Hsien Loong yakin dengan kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia yang baharu. – Gambar EPA, 2 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong menzahirkan keyakinan beliau yang hubungan dua hala akan terus berkembang dan subur di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam surat ucapan tahniahnya kepada Muhyiddin hari ini.

Teks surat itu diedarkan kepada Bernama.

“Malaysia dan Singapura berkongsi satu hubungan yang mendalam dan sudah terjalin sejak sekian lama. Kita dihubungkan oleh sejarah, geografi serta ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang rapat. Selama bertahun-tahun, Singapura telah bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam pelbagai bidang untuk manfaat bersama.

“Anda akan terbiasa dengan kebanyakan projek-projek ini, berdasarkan pelantikan anda sebelum ini dalam Kerajaan Persekutuan dan juga sebagai Menteri Besar Johor,” kata Lee.

Lee mengulangi undangannya kepada Muhyiddin untuk melakukan lawatan rasmi ke Singapura.

“Terdapat banyak bidang yang menyaksikan kedua-dua negara boleh maju bersama dalam persekitaran luaran semasa yang begitu mencabar,” katanya.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Ahad.

Lee mengakhiri surat itu dengan menyatakan: “Ho Ching dan saya mendoakan kesihatan dan kebahagiaan anda. Kami berharap dapat bertemu anda dan Puan Sri Noorainee tidak lama lagi.” – Bernama, 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen