Perikatan Nasional dapat majoriti rampas Melaka, kata Umno


SM Amin

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusof berkata, dua Adun dari Bersatu, seorang Adun PKR dan seorang lagi dari DAP menyatakan sokongan kepada gabungan baharu itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

PERIKATAN Nasional Melaka hari ini mengumumkan sudah mendapat sokongan majoriti wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusof berkata, dua Adun daripada Bersatu, seorang Adun PKR dan seorang lagi daripada DAP menyatakan sokongan kepada gabungan baharu itu.

Dua Adun bersatu adalah Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad manaka dua lagi daripada PKR dan DAP masing-masing Muhammad Jailani Khamis dan Norhizam Hassan Baktee.

Dengan perkembangan ini, Perikatan Nasional kini mempunyai 17 kerusi DUN berbanding 11 kerusi DUN yang dikuasai Pakatan Harapan PH), kata Ab Rauf.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan TYT (Tuan Yang Terutama Melaka) pada hari ini untuk menunjukkan majoriti yang ada.

“Soal siapa bakal jadi ketua menteri belum diputuskan lagi,” katanya dalam sidang media di Melaka pada hari ini.

Rafiq dalam sidang media yang sama berkata, keputusan untuk membentuk Perikatan Nasional di Melaka susulan daripada perubahan yang berlaku di Putrajaya.

“Bagi pihak Bersatu kita berikan komitmen bersama-sama dengan kepimpinan BN (Barisan Nasional), kita ada orang berpengalaman seperti Rauf dan Idris Haron yang ada pengalaman mentadbir negeri Melaka ini.

“Kerjasama ini akan memberikan masa depan yang lebih di Melaka pada masa akan datang,” kata Adun Paya Rumput itu.

Turut sependapat Adun Rembia Jailani yang percaya kepimpinan peringkat negeri seharusnya sehaluan dengan kepimpinan peringkat pusat untuk kebaikan negeri itu sendiri.

Bagaimanapun adun PKR itu menegaskan, sokongan beliau dan Adun Pengkalan Baru Norhizam dari DAP terhadap Perikatan Nasional atas kapasiti peribadi dan bukannya parti.

“Saya dan Norhizam berpendapat Melaka ini harus dipimpin ke arah yang lebih baik. Tiada unsur keluar parti tetapi atas kapasiti individu untuk bentuk kerajaan baru.

“Kepentingan rakyat harus didahulukan daripada parti,” katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata sokongan beliau terhadap Perikatan Nasional adalah demi kepentingan orang Melayu dan tidak lagi mahu menjadi barua kepada DAP.

“Saya bertindak demi kepentingan orang Melayu. Saya bekerja keras, bertungkus lumus. Mereka kata hendak berhemah, bermaruah tetapi saya tengok saya jadi barua sahaja.

“Memang saya jadi barua sahaja. Bila hati dan jiwa raga saya serahkan, bila ini berlaku saya kecewa. Jadi hari ini saya balik ke pangkuan. Saya kepimpinan baru ini tidak mengecewakan rakyat,” katanya.

Tambah Norhizam, beliau bersedia untuk menerima apa jua tindakan ke atas dirinya oleh DAP.

Bagi Adun Telok Mas daripada Bersatu Effandi, beliau menyifatkan penggabungan ini sangat perlu untuk menstabilkan politik kerajaan negeri Melaka.

“Bila presiden Bersatu membenarkan penggabungan ini, saya sambut dengan gembira kerana saya tidak mahu politik negeri Melaka ini berada dalam keadaan tidak stabil.

“Kita mengharapkan satu gabungan baru yang ada muka baru dan lama untuk bekerjasama membangunkan negeri ini,” ujarnya. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen