Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berganding bahu bagi memastikan warga kerja kedua-dua pasukan keselamatan itu bebas dari anasir dadah.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sudah mendapat lampu hijau daripada ATM untuk melaksanakan pemeriksaan air kencing mengejut ke atas kakitangannya yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan ATM akan bekerjasama menjalankan pemeriksaan mengejut dan usaha itu akan digandakan bagi memastikan anggota bebas dadah.
“Menjadi tanggungjawab polis dan ATM ke atas keselamatan negara dan wajib bagi setiap anggota bersih daripada penyalahgunaan dadah. Tindakan perlu diambil bagi membersihkan nama dua pasukan keselamatan ini daripada terpalit dengan elemen salah iaitu dadah.
“Kalau dilihat dalam PDRM, lebih 300 anggota terlibat dengan dadah dan misi kami adalah memastikan anggota bebas dadah sepenuhnya kerana disiplin anggota adalah penting, ” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Panglima ATM Affendi Buang di Bukit Aman, hari ini.
Kunjungan hormat yang merupakan acara tradisi itu diadakan bagi mengeratkan hubungan dua agensi keselamatan negara selain berbincang mengenai peranan masing-masing dalam menjalankan tugas.
Dalam perkembangan yang sama, Affendi berkata, meskipun penglibatan anggota ATM dengan dadah adalah kecil namun pihaknya tetap memandang serius kerana ia melibatkan keselamatan negara.
“Usaha untuk menghapuskan penglibatan anggota dengan penyalahgunaan dadah dilakukan setiap masa, contohnya dengan melakukan ujian saringan air kencing dan tangkapan sentiasa dilaksanakan.
“Walaupun diberikan hukuman berat kepada sesiapa yang menyalahgunakan dadah tetapi perkara ini tidak dapat dihentikan seratus peratus…sentiasa ada anggota yang ingin mencuba disebabkan terpengaruh dengan keadaan persekitaran, ” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Affendi berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti semula ketetapan cara pemakaian uniform polis dan ATM bagi mengelakkan kekeliruan.
Menurutnya, terdapat uniform (celoreng) yang reka bentuk ditiru dan boleh menimbulkan salah faham orang ramai terhadap pasukan keselamatan negara.
“Kita tidak mahu orang ramai keliru, ini adalah isu keselamatan. Kita bukan mahu uniform ini sebagai ekslusif untuk ATM atau PDRM tapi perlu faham bahawa pemakaian uniform dan lencana untuk pengawai ada satu kelainan… Kami tidak mahu disalah tafsir,” katanya.
Jelasnya, hasil saranan jawatankuasa tersebut akan diserahkan kepada pihak berwajib selepas selesai kelak.
Katanya, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Abdul Hamid dan Affendi akan membincangkan penyelarasan pemakaian lencana dan pakaian seragam. – 2 Mac, 2020.
Komen