PERHIMPUNAN yang diadakan di Kuala Lumpur bagi membantah pelantikan perdana menteri kelapan semalam dalam siasatan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau memberitahu pemberita, tindakan lanjut akan diadakan ke atas perhimpunan itu, yang dilaporkan dihadiri aktivis Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan.
“Kami sudah membuka kertas siasatan dan akan menentukan kemudian siapa yang menghadiri semalam sebelum mengambil tindakan lanjut. Siasatan dijalankan Polis Kuala Lumpur,” katanya.
Semantara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed antara yang disiasat adalah peguam, Fadiah Nadwa Fikri yang menyampaikan ucapan di perhimpunan itu.
Dua kertas siasatan dibuka terhadap Fadiah Nadwa Fikri mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dia disiasat mengikut Akta Hasutan kerana kenyataannya yang mendakwa demokrasi sudah mati,” kata Huzir.
Fadiah dalam ucapannya antara lain menyebut, ramai kalangan Malaysia marah kerana perebutan kuasa ahli politik menyebabkan kerajaan yang mereka pilih pada 2018 tumbang.
Fadiah dalam satu kenyataan di Twitter mengesahkan dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan membantah pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu.
“Saya telah dipanggil Unit Penyiasatan Jenayah, Bukit Aman dan akan berada di sana pada hari Selasa, 3 Mac, pukul 11 pagi.”
Dalam perkembangan berkaitan polis turut mengumumkan penahanan tiga lelaki tempatan atas kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook.
Menurut Bukit Aman, dua lelaki ditahan di Lembah Klang dan seorang lagi di Kuching berusia 35 tahun hingga 55 tahun atas kesalahan tersebut.
Huzir berkata tiga lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – 2 Mac, 2020.
Komen