POLIS tidak akan menyekat kebebasan bersuara dan membenarkan orang ramai mengadakan perhimpunan, tetapi mereka mestilah mematuhi undang-undang, kata Abdul Hamid Bador.
Ketua polis negara itu mengulas gesaan supaya pihak berkuasa membenarkan rakyat berhimpun susulan keadaan politik semasa negara.
“Boleh, tetapi mesti patuhi undang-undang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini. Anda bebas untuk bersuara, tetapi jangan berucap apa-apa yang berbaur hasutan.”
Abdul Hamid juga meminta peserta dan NGO yang memperjuangkan kebebasan bersuara itu merujuk undang-undang untuk turun berdemonstrasi di jalan raya.
“Bayangkan, kalau 10 NGO mengadakan demonstrasi tanpa memberitahu polis tanpa beri peluang mengaturkan aspek keselamatan dan kawalan trafik jalan, ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan mengelak pertembungan sesama kumpulan, baling membaling dan rusuhan.
“Kamu boleh buat apa sahaja tetapi ada peraturan juga yang perlu diikut. Itu bukan cengkaman dari polis,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, polis perlu diberi peluang untuk membuat persediaan kawalan lalu lintas serta keselamatan bagi memastikan acara itu selamat.
“Polis tidak mahu lagi menyekat,” katanya yang menambah polis juga perlu menjaga kepentingan orang awam supaya tidak terganggu dengan kesesakan jalan.
Mengulas desakan NGO yang berkeras untuk berhimpun di Dataran Merdeka semalam, Abdul Hamid berkata kumpulan itu sepatutnya berhimpun di Padang Merbok.
“Kenapa hendak buat di tengah bandar sedangkan kami tawarkan Padang Merbok, padang besar yang boleh menghimpunkan beribu orang secara bebas berkumpul dan bersuara.
“Kalau kamu dapatkan kebenaran tuan punya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengikut undang-undang semuanya selamat dan terurus. – 2 Mac, 2020.
Komen