Zahid ikrar lawan di mahkamah, enggan gugur 47 tuduhan


Presiden Umno Ahmand Zahid Hamidi berikrar untuk membersihkan namanya di mahkamah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Mac, 2020.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk membersihkan namanya di mahkamah dan tidak akan memohon untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya.

Katanya, penangguhan perbicaraan hari untuk hari ini sahaja bagi membolehkan beliau berunding denga Perdana Menteri Kelapan Muhyiddin Yassin bagi pembetukan kerajaan baharu.

“Esok, 3 Mac kes akan disambung semula seperti biasa. Kes ini tidak digugurkan sama sekali seperti kes lain sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes.

“Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya.

Mahkamah hari ini membenarkan perbicaraan membabitkan kes rasuah jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi ditangguhkan bagi membolehkan Zahid bertemu perdana menteri baharu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa kehadiran Zahid diperlukan bagi membentuk Kabinet baharu dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan perbicaraan bersambung semula eok.

Zahid, 67, dituduh menerima rasuah bagi meluluskan kontrak bekalan cip pasport untuk beberapa syarikat swasta. Beliau berdepan 47 pertuduhan, termasuk 27 dakwaan pengubahan wang haram.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 semalam selepas membentuk perikatan dengan Umno, PAS dan kumpulan bekas ahli Parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen