Perikatan Nasional dijangka kuasai 8 negeri


SM Amin

Empat negeri dalam keadaan tidak menentu selepas Bersatu mengambil ketetapan untuk keluar daripada PH Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) di tiga lagi negeri dijangka tumbang dan memberi kuasa kepada Perikatan Nasional menguasai lapan negeri selepas PH tumbang di Putrajaya.

Tiga negeri itu kini dalam keadaan tidak menentu selepas Bersatu mengambil ketetapan untuk keluar daripada PH Sabtu lalu.

Tiga negeri yang dikuasai oleh PH ketika ini di Melaka, Perak dan Kedah hanya ditadbir dengan majoriti tidak melebihi dua kerusi DUN.

Seorang Adun Bersatu Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerajaan baru di negeri itu akan terbentuk tidak lama lagi mengikut formula gabungan sama di Putrajaya.

“Kita akan bersama dengan formula kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

“Melaka akan ke arah yang sama. Setakat ini kita ada 16 kerusi berbanding 12 kerusi Pakatan Harapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam PRU14, PH berjaya merampas negeri Melaka daripada Barisan Nasional selepas menguasai 15 kerusi berbanding Umno yang menang 13 kerusi DUN.

Menurut Rafiq, kerajaan negeri itu akan tumbang apabila beliau bersama Adun Bersatu Telok Mas Noor Effandi Ahmad dan Adun PKR Rembia Muhammad Jailani Khamis akan menyertai gabungan baru itu.

Jelasnya, satu perbincangan dengan pemimpin Umno akan diadakan secepat mungkin sebelum memohon menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk membuktikan sokongan majoriti.

“Kita memilih untuk menubuhkan kerajaan baharu. Kita akan mengadap TYT dalam masa terdekat sebaik selesai mengadakan perbincangan dengan pemimpin Umno.

“Kita akan berjumpa secepat mungkin. Insya-Allah kita harap dalam minggu ini dapat selesai,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hari ini juga turut memberi bayangan kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional akan terbentuk di negeri itu mengikut acuan di Putrajaya sekarang.

Kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional juga dijangka akan terbentuk di negeri Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

Faizal berkata, bentuk kerjasama akan dibincangkan dengan Adun Bersatu, Umno dan PAS selepas beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi memaklumkan perkembangan politik terkini.

Gabungan Adun Umno, PAS, Bersatu dan Bebas mempunyai 31 kerusi DUN Perak berbanding PH yang mempunyai 28 kerusi sahaja.

Sementara itu di negeri Kedah, kerajaan yang dipimpin Mukhriz Mahathir turut berada dalam keadaan tidak stabil susulan perubahan kerajaan di Putrajaya.

Dengan majoriti yang tipis diperolehi PH dalam PRU14, Perikatan Nasional hanya memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua lagi Adun untuk membentuk kerajaan baru.

Sokongan enam Adun Bersatu Kedah mungkin berpecah susulan pertembungan Bersatu di peringkat nasional antara kumpulan Presiden Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu di Johor pada Jumaat, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-18 di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau mengangkat sumpah selepas Sultan Johor percaya beliau mempunyai sokongan majoriti selepas memanggil kesemua 56 Adun Johor ke istana pada Rabu untuk menandatangani akuan bersumpah.

Akuan itu bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau Perikatan Nasional.

Daripada 56 Adun Johor itu, hanya dua yang tidak hadir iaitu Adun Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub, dan Adun Puteri Wangsa dari Bersatu, Mazlan Bujang.

Ia menjadikan sokongan yang diterima Hasni ketika itu 28 orang berbanding 26 orang yang kekal bersama Pakatan Harapan.

Umno dan PAS juga ketika ini menguasai empat negeri – Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mesra kepada kerajaan Persekutuan baharu Perikatan Nasional manakala Warisan di Sabah memilih untuk menyokong Dr Mahathir.

Perkembangan terbaharu ini juga menyaksikan PH hanya kekal menguasai tiga negeri sahaja iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen