Usah tangguh sidang Dewan Rakyat, kata pakar perlembagaan


Sheridan Mahavera Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membenarkan sidang Dewan Rakyat disegerakan kerana wujud keraguan mengenai keabsahan kerajaannya, kata pakar perlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu mengesahkan kerajaannya di Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac, kata pakar undang-undang.

Mereka juga berkata walaupun Yang di-Pertuan Agong boleh menangguhkan sidang Dewan Rakyat sehingga enam bulan atas nasihat perdana menteri, ini bukan jalan yang patut Muhyiddin ambil.

Muhyiddin dijangka dicabar Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya.

Jumlah sokongan yang diperolehi Muhyiddin dipersoalkan oleh Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa memperoleh majoriti di Dewan Rakyat.

Peguam perlembagaan, Andrew Khoo berkata perdana menteri yang baru dilantik boleh menasihatkan Agong menangguhkan sidang kepada satu tarikh lain.

“Sidang dijadualkan pada 9 Mac, tetapi Yang di-Pertuan Agong masih belum mengeluarkan titah rasmi.

“PM boleh menasihatkan sidang ditangguhkan, mungkin kerana perlu menyediakan titah ucapan baharu Agong, memandangkan ini kerajaan baharu,” kata Khoo yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam.

Perdana Menteri Muhyiddin dijangka dicabar PH yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya, pada sidang Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata pihaknya akan berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan kepastian sama ada sidang perlu ditangguhkan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dan PH menggesa sidang tidak ditangguhkan untuk membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Seorang lagi peguam perlembagaan, Lim Wei Jiet berkata mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, penangguhan tidak boleh melebihi enam bulan daripada tarikh terakhir Dewan Rakyat bersidang.

Menurut Lim, Muhyiddin perlu membenarkan sidang Dewan Rakyat disegerakan kerana wujud keraguan mengenai keabsahan kerajaannya.

“Mereka perlu hadapinya di Parlimen dan lihat jika mereka sebenar-benarnya mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli Dewan Rakyat,” kata Lim, ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam.

Apabila Dewan Rakyat mula bersidang, barulah Dr Mahathir boleh mengemukakan usul tidak percaya.

“Speaker harus mengutamakan hal ini dan membenarkan ia dibahaskan terlebih dahulu.”  – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen