Syak wasangka, keangkuhan humban kerajaan Pakatan


Jahabar Sadiq

Pemimpin Pakatan Harapan gagal berkomunikasi antara satu sama lain bagi melicinkan pentadbiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2020.

SYAK wasangka, keangkuhan dan kegagalan komunikasi  di antara satu sama lain adalah antara punca pentadbiran Mahathir jatuh dalam kemelut kuasa sejak seminggu lalu, membuka jalan untuk presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengambil alih kuasa semalam.

Beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri semalam meskipun bantahan disuarakan oleh Dr Mahathir Mohamad yang mengubah pendirian dalam kemelut politik sehingga membungkam kerajaan Pakatan Harapan (PH), menyebabkan bursa saham tempatan kerugian RM43.4 bilion pada Isnin lalu sekali gus menjatuhkan nilai matawang Ringgit Malaysia menjadi lebih rendah.

“Kerja berpasukan di kalangan para Menteri tidak begitu menonjol, dan mereka bekerjasama hanya untuk mengalahkan Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya, itu sahaja,” kata seorang pembantu Menteri Pakatan kepada The Malaysian Insight.

“Mereka tidak mempercayai antara satu sama lain dan ada berpandangan bongkak dan merasakan lebih bagus. Itulah pengajaran yang saya pelajari ketika dalam kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir mendedahkan semalam bahawa Muhyiddin, yang juga bekas menteri dalam negeri Pakatan, telah memberitahu beliau untuk meninggalkan DAP kerana parti yang memiliki majoriti ahli berbangsa Cina itu adalah punca kehilangan beberapa kerusi parlimen khususnya dalam ketika Pilihan Raya Kimanis, Tanjung Piai dan kerusi DUN Semenyih di Selangor.

Beliau berkata Muhyiddin mahu bekerjasama dengan musuh-musuh politik, Umno dan PAS, dan turut bekerjasama dengan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali untuk membentuk kerajaan tanpa DAP.

Namun Dr Mahathir menolak cadangan itu kerana ini bermakna beliau harus bekerjasama dengan mereka yang dituduh melakukan rasuah.

Bagaimanapun, rancangan Muhyiddin-Azmin itu juga dilihat sebagai peluang untuk menafikan kemaraan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri yang dijanjikan akan mengganti Dr Mahathir.

Seorang lagi pembantu bekas menteri Pakatan berkata pentadbiran Mahathir adalah kumpulan menteri yang hampir tidak pernah bercakap antara satu sama lain kecuali dalam mesyuarat Kabinet atau mesyuarat yang diatur Dr Mahathir.

“Tidak ada komunikasi di antara menteri, sama ada melalui surat atau kenyataan singkat melalui media,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang pembantu kepada menteri lain bersetuju mengenai realiti tersebut berkata “Kami lakukan hal kami, mereka lakukan hal merekam” yang jelas ditunjukkan seperti tindakan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggunakan media sosial untuk membantah Kabinet kerana membatalkan elaun kritikal untuk doktor kerajaan .

“Ia boleh ditangani dengan lebih baik, tetapi mereka tidak tahu bagaimana atau hanya bergantung pada apa yang mereka tahu, media sosial,” katanya.

“Seolah-olah mereka mahu menunjukkan kepada dunia mereka melakukan kerja mereka,” katanya.

Pegawai kerajaan juga mengatakan bahawa beberapa menteri dan setiausaha politik mereka tidak mahu melibatkan penjawat awam atau kakitangan agensi kerajaan untuk membuat cadangan kerana bimbang dengan “daulah terpendam” seperti yang pernah dikatakan bekas menteri luar negeri Saifuddin Abdullah tahun lepas.

“Mereka sombong dan fikir mereka tahu lebih banyak, walaupun dengan perkhidmatan awam apatah lagi rakan mereka di kementerian lain. Tidak percaya, dan gagal berkomunikasi dalam kerajaan,” kata seorang pegawai kanan agensi kerajaan.

“Satu-satunya orang yang mengikat semua mereka ini ialah Dr Mahathir apabila kerajaan terbentuk, ada yang takut dengan jawatan mereka apabila beliau letak jawatan, dan itulah sebabnya sesetengahnya tidak mahu dia letak jawatan sama sekali,” kata seorang lagi pembantu bekas menteri kepada The Malaysian Insight selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari.

Beliau berkata perkara ini adalah sebab kenapa semua orang menamakan beliau sebagai perdana menteri. “Tanpa dia, kerajaan akan jatuh dengan cepat dan mereka akan kehilangan semuanya kerana mereka tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain.”

“Akhirnya, ia jatuh, jumlah angka cukup untuk menubuhkan kerajaan tanpa Dr Mahathir dan PH kerana walaupun ahli parlimen Sabah dan Sarawak tidak mempercayai mereka dan menganggap mereka sombong,” katanya. – 2 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen