Pelantikan menteri bidang kuasa Muhyiddin, kata Umno


SM Amin

Annuar berkata Umno sebagai salah satu gabungan dalam kerajaan baharu menghormati kuasa perdana menteri untuk melantik barisan menteri tersebut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2020.

PARA presiden parti dijangka akan berbincang dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat bagi pembentukan barisan Kabinet baharu, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Katanya, Umno sebagai salah satu gabungan dalam kerajaan baharu menghormati kuasa perdana menteri untuk melantik barisan menteri tersebut.

“Kita harus ikut cakap perdana menteri. Semua lantikan adalah prerogatif dia. Tetapi sebagai satu konvensyen, pihak perdana menteri akan bincang dengan pemimpin-pemimpin parti.

“Sejak dari dahulu pun, kaedahnya, bila kita kumpulkan gabungan, maka ketua-ketua parti akan duduk dan berbincang. Cadangan akan datang dari presiden,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno.

Muhyiddin hari ini mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia kelapan hari ini.

Sokongan itu dari ahli Parlimen Umno, PAS, Bersatu, Gabaungan Parti Sarawak (GPS), kumpulan Azmin Ali serta ahli Parlimen bebas.

Mengulas lanjut perkara itu, Annuar berkata Umno tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Muhyiddin yang juga merupakan bekas timbalan presiden parti itu.

“Bukan sahaja kerjasama, malah kita pendukung kuat perdana menteri. Sekarang kita fokus kepada menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan baharu ini akan meneruskan agenda reformasi kerajaan sebelum ini, Annuar secara peribadi berpandangan Kabinet harus meneruskan dasar yang baik untuk rakyat.

“Ini pendapat peribadi saya. Saya fikir mesyuarat Kabinet pertama akan dibincangkan sebab itu merupakan dasar.

“Kita tahu corak kepimpinan perdana menteri kita sangat sederhana dan terbuka. Ini bukan soal kumpulan atau kelompok tetapi soal negara perlu didahulukan dalam perkara yang kita boleh bekerjasama.

“Saya bagi contoh menteri kesihatan sebelum ini telah buat yang terbaik mengurus isu Covid-19. Walaupun dia bukan menteri lagi, apa salahnya kita kerjasama, di mana beliau boleh bantu.

“Tidak bermakna bila tukar menteri terus singkir. Tidak. Apatah lagi Muhyiddin adalah sebahagian dari kerajaan dahulu,” katanya.

Sementara itu, satu sumber Umno berkata, soal pemilihan barisan Kabinet tidak pernah dibincangkan oleh parti sebelum Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Katanya pada waktu itu BN serta PAS bertegas agar Parlimen dibubarkan untuk diadakan pilihan raya semula.

“Keadaan sebelum ini kucar-kacir. Fokus kita adalah untuk cari jalan penyelesaian mententeramkan keadaan. Kalau tiada kata sepakat, itu kita cadang bubar sebelum ini.

“Sekarang ini masa untuk bekerja menstabilkan kerajaan. Mungkin sidang Dewan Rakyat juga akan ditangguhkan dahulu sehingga keadaan betul-betul tenang,” katanya. – 1 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen