Muhyiddin khianat, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau rasa dikhianati oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afiff Abd Halim, 1 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin mengkhianati Pakatan Harapan, dan rakyat yang memilihnya sebagai kerajaan 22 bulan lalu kerana bercita-cita hendak jadi perdana menteri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali ada agenda tersendiri apabila terlibat menjatuhkan kerajaan PH, tetapi Muhyiddin baginya pengkhianat sebenar.

“Azmin ada agendanya sendiri, dia memilih untuk bekerjasama dengan Muhyiddin. Saya rasa dikhianati, terutama oleh Muhyiddin,” kata Dr Mahathir.

Tindakan pemimpin berkenaan yang bersekongkol dengan dengan pembangkang PAS dan Umno membawa kepada kemusnahan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau menyesali tindakan meletak jawatan perdana menteri, Dr Mahathir berkata beliau tiada pilihan kerana tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin Umno dan PAS yang menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.

Katanya, beliau terbuka untuk menerima pemimpin Umno yang bersih tetapi tidak dapat menerima keseluruhan parti tersebut.

Beliau juga bimbang kemasukan pemimpin parti berkenaan akan menjejaskan kes yang dibicarakan di mahkamah, apabila pemimpin berkenaan mendapat kuasa.

Namun Muhyiddin lebih terbuka untuk bekerjasama dengan Umno kerana “politik lebih penting berbanding prinsip,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa enam ahli Parlimen tidak menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan mencabar bekas menteri dalam negeri itu untuk membuktikan sokongan di Dewan Rakyat.

Menurut Dr Mahathir, beliau mendapat sokongan 114 ahli Parlimen termasuk 92 dari Pakatan Harapan namun tidak lagi dapat berunding kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mahu menerima beliau menghadap.

Kumpulan yang dipimpinnya ini akan mendesak Muhyiddin membuktikan sokongan dalam sidang Dewan Rakyat, katanya dalam sidang media di Yayasan al-Bukhary pagi ini. – 1 Mac, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen