Pakatan tentera Arab Saudi serang kementerian pertahanan Yaman


Serangan udara yang dilancarkan pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi ke atas kementerian pertahanan Yaman menyebabkan kawasan perumahan awam terjejas dan mengalami kerosakan teruk. – Gambar EPA, 11 November, 2017.

PAKATAN tentera diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas kementerian pertahanan Yaman di Sanaa yang dikuasai pemberontak pada Jumaat, menurut saksi dan media pemberontak, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang awam cedera.

Media pemberontak Huthi, Al-Masirah melaporkan dua serangan udara itu mensasarkan kementerian pertahanan. Salah satu serangan berkenaan terkena kawasan perumahan berhampiran kementerian itu, kata saksi. 

“Saya berada di rumah dan terdengar bunyi letupan di kementerian pertahanan. Semua orang ketakutan. Beberapa minit selepas itu, satu lagi serangan terkena rumah jiran,” kata seorang penduduk Mohammed Aatif. 

“Seluruh rumah saya bergegar,” kata Aatif, yang melarikan diri bersama keluarganya dari kejiranan terbabit. 

Katanya, serangan itu memusnahkan rumah jirannya, dan meninggalkan kawah letupan yang besar serta menyebabkan kemusnahan lain. 

Saksi berkata jumlah magsa mungkin meningkat berikutan ramai lagi yang dikeluarkan daripada runtuhan.

Pakatan tentera itu sebelum ini pernah mensasarkan kementerian berkenaan, menyebabkan kerosakan teruk, namun serangan terbaharu ini tercetus selepas ketegangan memuncak antara Arab Saudi dan pesaingnya Iran yang menyokong pemberontak Huthi. 

Arab Saudi dan sekutunya mula campur tangan di Yaman pada Mac 2015 yang menyasarkan untuk menggulingkan kuasa pemberontak Huthi dan mengembalikan kuasa kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour. 

Konflik itu menyebabkan lebih 8,650 terkorban, termasuk ramai orang awam, dan pemberontak Huthi terus menguasai ibu negara Sanaa dan kebanyakan kawasan utara negara itu. 

Pakatan tentera itu menutup sempadan Yaman awal minggu ini selepas pihak tentera Arab Saudi pada Sabtu memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Huthi berhampiran lapangan terbang Riyadh.
 
Pemberontak terbabit mengancam untuk meneruskan serangan ke atas Arab Saudi dan pakatan sekutunya Emiriah Arab Bersatu sebagai balasan terhadap sekatan yang dibuat.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada Jumaat berkata, sekatan pakatan itu masih menghalang saluran bantuan PBB ke Yaman walaupun pelabuhan Aden dan sempadan darat dibuka semula. 

“Minggu ini, Ketua Bantuan PBB Mark Lowcock memberi amaran kepada Majlis Keselamatan bahawa, melainkan sekatan itu dibuka, Yaman akan berdepan dengan masalah kebuluran paling besar yang pernah dilihat dunia sejak berdekad lalu, dengan jutaan mangsa. 

Badan dunia itu turut menyenaraikan pergolakan di Yaman sebagai krisis kemanusiaan nombor satu dunia, dengan 17 juta orang memerlukan makanan, 7 juta berdepan risiko kebuluran.

Lebih 2,000 warga Yaman maut akibat wabak kolera yang kini merebak kepada hampir satu juta orang.  – AFP, 11 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen