PAS tak perlu letak jawatan di Selangor jika putus dengan PKR


Sheridan Mahavera

Ketua Pemuda PAS Mohd Khalil Abdul Hadi berkata exco PAS di Selangor bukan lantikan PKR dan DAP jadi mereka perlu meneruskan tugas masing-masing untuk rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 April, 2017.

EXCO PAS di Selangor tidak perlu meletak jawatan daripada kedudukan dalam kerajaan negeri, kata Ketua Pemuda PAS Mohd Khalil Abdul Hadi ketika parti Islam itu mula mendesak untuk memutuskan hubungan dengan sekutunya PKR.

Khalil yang baru saja dipilih sebagai ketua Pemuda berkata jawatan itu, di mana PAS mempunyai tiga exco dalam majlis eksekutif Selangor, bukan diberi oleh PKR.

“PKR tidak memilih exco PAS di Selangor. Dan kerusi PKR kurang berbanding PAS,” katanya sebagai respons kepada kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Saifuddin berkata PAS perlu meletakkan jawatan dalam kerajaan Pakatan Harapan jika bertegas dengan matlamatnya untuk menamatkan hubungan dengan PKR.

“Exco PAS bukan lantikan oleh PKR dan DAP jadi mereka perlu meneruskan tugas masing-masing untuk rakyat,” kata Khalil ketika diminta mengulas kenyataan Saifuddin.

Khalil berkata tidak mustahil untuk exco PAS bekerja dalam kerajaan negeri Selangor walaupun tanpa hubungan dengan PKR atau DAP, satu lagi parti dalam Kabinet negeri.

“Setiap parti akan bekerja untuk kawasan masing-masing mengikut tanggungjawab yang diberikan oleh parti,” katanya.

Perwakilan Pemuda PAS menyertai Dewan Ulama mendesak parti mereka mengakhiri hubungan dengan PKR, yang berada dalam gabungan Pakatan Harapan.

Ia susulan hubungan yang tegang selama dua tahun ini antara pemimpin dan ahli kedua-dua parti yang sering membawa perbalahan mereka secara terbuka.

Lebih banyak desakan memutuskan hubungan dengan PKR dijangka didengar esok pada muktamar utama PAS.

Hari ini, Saifuddin berkata apa yang paling terhormat untuk exco PAS lakukan ialah meletak jawatan daripada kerajaan negeri Selangor. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen