Lebih 95 ahli Parlimen sokong Dr Mahathir, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Anwar Ibrahim mengulas mengenai jumlah sokongan ahli Parlimen yang diperoleh Dr Mahathir Mohamad untuk dicalonkan sebagai perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Februari, 2020.

JUMLAH sokongan terhadap Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri semakin meningkat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Ahli Parlimen Serian dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), baru menyertai PKR dan menyokong Dr Mahathir.

“Richard Riot sudah menyertai kita. Jumlah yang menyokong Dr Mahathir akan lebih tinggi,” kata Anwar kepada pemberita di luar Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Terdahulu, Anwar dan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menamakan calon perdana menteri pilihan mereka.

Ditanya sama ada jumlah yang menyokong Dr Mahathir lebih 95 ahli Parlimen, Anwar berkata, “Lebih daripada itu… 96 hanya dari PH. Dr Mahathir akan bawa ramai lagi.”

“Saya tidak boleh komen tentang jumlah sokongan yang kami perolehi kerana kami perlu menghantarnya kepada istana. Biar istana kira jumlah tersebut,” kata Anwar.

Awal hari ini, Salahuddin Ayub (Amanah) juga dilaporkan berkata lebih ramai ahli Parlimen Bersatu mungkin akan meninggalkan parti yang diketuai Muhyiddin Yassin yang kini menentang Dr Mahathir.

Dalam tempoh seminggu sejak krisis politik tercetus hujung minggu lepas, Bersatu pada mulanya menolak perletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi, dan hari ini menerimanya selepas negarawan itu beralih arah apabila PH menamakannya sebagai calon perdana menteri.

Dr Mahathir berulang kali menolak rancangan Muhyiddin untuk Bersatu bekerjasama dengan Umno dan PAS.

Kedua-dua pihak kini sedang cuba meraih sokongan diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Jumlah sokongan disahkan Anwar adalah 94 (PH), Dr Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Richard Riot.

Warisan Sabah dan Upko yang mempunyai 10 wakil Parlimen juga menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir, membawa kepada keseluruhan sokongan Dr Mahathir adalah 105 orang.

Manakala pesaing mereka, kem Muhyiddin yang melibatkan Bersatu, Umno, PAS, bekas PKR bawah Mohamed Azmin Ali pula mempunyai 96 sokongan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 wakil Parlimen masih belum mengumumkan sokongan mereka.

112 sokongan daripada 222 kerusi Parlimen diperlukan untuk majoriti mudah membentuk kerajaan.  – 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen