Pujukan tengah malam pecah kebuntuan kerajaan Pakatan


Jahabar Sadiq

Sepanjang hari yang bergulir dengan perkembangan yang silih berganti serba pantas, Dr Mahathir yang meradang hanya diam dan enggan bercakap dengan mana-mana ahli politik, termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cepat matang, yang mengetuai sayap Pemuda Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Februari, 2020.

KEMUNGKINAN untuk Pakatan Harapan membentuk kerajaan yang sekali lagi diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad muncul lewat malam tadi selepas beliau akur dengan pujukan anaknya Marina Mahathir supaya bertemu dengan wakil parti politik bekas kerajaan yang runtuh awal minggu ini.

Sepanjang hari yang bergulir dengan perkembangan yang silih berganti serba pantas, Dr Mahathir yang meradang hanya diam dan enggan bercakap dengan mana-mana ahli politik, termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang cepat matang, yang mengetuai sayap Pemuda Bersatu.

Pemimpin PH menghubungi Marina, seorang aktivis dan penerbit, untuk mengatur satu pertemuan pendek. Dalam pertemuan itu, mereka membentangkan perjanjian yang sama, yang dipersetujui seminggu yang lalu.

“Ada beberapa panggilan telefon dan kiriman pesan tetapi akhirnya Marina berjaya dapatkan ayahnya untuk bercakap dengan pemimpin PH,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.

Ini bermakna Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri, menentukan tarikh persaraannya selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), dan sebuah kerajaan yang akan disertai teknokrat.

Sumber berkata Dr Mahathir bagaimanapun perlu mendapatkan sokongan dari Sarawak dan Sabah untuk dinamakan sebagai perdana menteri, dan ada “tanda-tanda yang memberangsangkan”.

Butirannya belum muktamad tetapi Wong Chen dari PKR membayangkan perjanjian itu dalam satu komentar di Facebook. Katanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan menyertai pentadbiran baru Dr Mahathir.

Ada juga spekulasi bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai kabinet baharu, dan begitu juga Parti Warisan Sabah.

Pemimpin DAP Sarawak Chong Chien Jin berkata pihaknya sedia memberi jalan kepada GPS dalam pilihan raya negeri akan datang, demi kepentingan nasional.

“Atas nama kepentingan nasional, apa pun boleh,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Awal hari ini, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan bertemu Yang di-Pertuan Agong sebagai calon perdana menteri yang sudah ada sokongan.

Beliau dan pemimpin PH bertemu Seri Paduka selepas giliran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan sekutunya Mohamed Azmin Ali serta pemimpin Umno dan PAS.

Muhyiddin kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Mahathir bukan lagi pengerusi parti, dua hari selepas menerima beliau kembali menyandang jawatan itu.

Namun retak terbelah dalam Bersatu apabila Setiausaha Agung Marzuki Yahya menegaskan Dr Mahathir masih pengerusi. β€“ 29 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen