BEKAS speaker Parlimen Catalonia yang disingkirkan kini sedang bersedia keluar dari penjara di Madrid hari ini apabila penyokongnya membayar ikat jamin €150,000 sehari selepas beliau ditahan berikutan kontroversi gerakan pembebasan wilayah itu.
Hakim di mahkamah tinggi di Madrid memerintahkan Carme Forcadell ditahan atas tuduhan “pemberontakan” – yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun – ketika krisis politik terburuk pernah melanda Sepanyol masih berterusan.
Forcadell salah seorang daripada beberapa pemimpin Catalonia yang ditahan selepas keputusan mereka yang mengejutkan bulan lalu mengisytiharkan wilayah dengan populasi 7.5 juta orang itu merdeka dari Sepanyol.
Sumber berkata Forcadell tiba di penjara Alcala Meco selepas tengah malam Khamis.
Jurucakap mahkamah berkata bon ikat jamin sudah dibayar dan menanti arahan hakim untuk membebaskan Forcadell.
Kumpulan pelobi prokemerdekaan sebelum ini menyeru orang ramai memberikan sumbangan untuk menampung ikat jamin Forcadell.
Krisis Catalonia mencetuskan huru-hara di seluruh Kesatuan Eropah, menyebabkan ratusan perniagaan terpaksa didaftarkan semula di luar wilayah terkaya itu.
Wakil rakyat memilih untuk berpisah dari Sepanyol selepas referendum 1 Oktober menyaksikan 90% pengundi memilih untuk merdeka. – AFP, 10 November, 2017.
Komen