POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memandang berat dakwaan elemen luar dibawa masuk ke dalam negara ketika negara berhadapan dengan kemelut politik.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak cuba mengacau keadaan sedangkan keadaan negara terkawal.
“Ada dakwaan elemen dari luar masuk ke negara untuk bantu sesiapa (ahli politik) dan mencetuskan keadaan tidak baik. Saya beri amaran jangan bawa masuk elemen luar kerana ia satu pengkhianatan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di luar Istana Negara, hari ini.
Sementara itu, katanya polis membuka kertas siasatan berhubung kenyataan palsu di media sosial membabitkan kemelut politik negara.
“Orang ramai perlu berhenti membuat spekulasi tanpa maklumat sahih bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.
“Pemimpin parti politik juga diingatkan supaya menjalankan aktiviti politik mengikut perlembagaan dan mengelak membuat kenyataan berunsur provokasi serta berniat tidak baik,” katanya.
Hamid berkata, berita palsu yang disebarkan berniat jahat.
“Sebelum ini ada juga dakwaan kereta rasmi dengan nombor plat Z1 yang membawa PAT (Panglima Angkatan Tentera) dilihat masuk ke Istana Negara ada makna tertentu. Itu satu permainan jahat dan tidak bertanggungjawab.
“Ramai nak jadi pakar, mereka dinasihatkan untuk berhati-hati dengan kata-kata dan tulisan. Kena ikut undang-undang dan jangan melampaui batas,” katanya.
Sementara itu, pihak tentera dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan ancaman akibat krisis politik dalam negara ketika ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia Affendi Buang.
Kata beliau, pihaknya sudah meningkatkan operasi dan kawalan keselamatan di beberapa kawasan termasuk sempadan negara.
“Buat masa ini, kita sudah membuat persediaan dan meningkatkan siap siaga supaya dalam keadaan apa berlaku di negara kita ini tiada anasir yang ingin mengambil kesempatan.
“Di kawasan operasi, kita meningkatkan rondaan supaya kita dapat memantau pergerakan dan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita di luar pintu 1 Istana Negara, hari ini.
Sebelum itu, Affendi bersama Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memberi taklimat mengenai keadaan keselamatan negara.
Affendi berkata, beliau dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak beberapa hari lalu susulan dari krisis politik bertujuan melaporkan perkembangan terkini mengenai penugasan ATM dalam menghadapi situasi itu.
Beliau berkata, keadaan keselamatan ketika ini adalah terkawal dan aman. – 28 Februari, 2020.
Komen