Semua pihak harus hormati kearifan Agong, kata Mat Hasan


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata sudah sampai masanya kemelut politik di Malaysia diserahkan kepada kearifan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

KEMELUT politik yang sedang melanda Malaysia ketika ini perlu diselesaikan segera, demikian kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sudah sampai masanya untuk perkara berkenaan diserahkan kepada kearifan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan (Persekutuan) bagi memberikan jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia. Parlimen Malaysia bukan forum untuk melantik PM (Perdana Menteri).

“Semua pihak harus menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong dan tidak mendahului Tuanku dalam apa jua keadaan pun. InsyaAllah kebijaksanaan Baginda akan kita jadikan pedoman dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad berkata Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin (2 Mac) bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – Bernama, 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen