MAHKAMAH di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara dua bulan hari ini terhadap kru perfileman luar negara kerana menerbangkan dron di Parlimen, kata peguam.
Mereka bekerja untuk stesen penyiaran Turki, TRT yang memberitahu kru terbabit mahu merakamkan bangunan Parlimen selepas temu bual dengan seorang ahli Parlimen.
“Mereka terkejut ketika mendengar hukuman itu,” kata peguam kumpulan itu, Khin Maung Zaw selepas perbicaraan diadakan yang hanya mengambil masa sehari.
Khin berkata semua defendan mengaku menerbangkan dron itu tetapi hanya menjangkakan mereka akan didenda saja.
Mereka juga berdepan hukuman tiga tahun penjara atas kesalahan membawa masuk barangan yang diharamkan ke negara itu tanpa dokumen, kata peguam dengan perbicaraan bagi tuduhan itu dijadualkan pada 16 November.
TRT mendakwa wartawan mereka sudah memaklumkan terlebih dulu kepada Kementerian Maklumat Myanmar tentang rancangan itu.
Dalam satu kenyataan selepas penahanan itu, syarikat penyiaran Turki itu berkata polis turut menyerbu rumah wartawan tempatan Aung Naing Soe dan merampas komputer dan cakera keras miliknya.
Pada masa ini situasi agak tegang antara Turki dan negara Asia Tenggara berhubung layanan Myanmar terhadap masyarakat Rohingya, yang terpaksa melarikan diri daripada Rakhine.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Myanmar menutup “keganasan Buddha” dan melaksanakan genosid terhadap umat Islam. – AFP, 10 November, 2017.
Komen