New Zealand catat kes pertama Covid-19


New Zealand mengenakan sekatan kemasukan perjalanan dari Iran bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara itu. – Gambar AFP, 28 Februari, 2020.

NEW Zealand mencatatkan kes pertama Covid-19 hari ini selepas pesakit yang berkunjung ke Iran disahkan positif virus itu.

Jabatan kesihatan berkata pesakit wanita itu yang berusia dalam lingkungan 60-an kini dirawat di Hospital Auckland City.

“Keadaannya semakin stabil selepas diletakkan di wad berasingan untuk mengelakkan penularan virus itu,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu, wanita tersebut yang merupakan rakyat New Zealand, tiba di Auckland pada Rabu lalu dan ahli keluarganya membawa dia ke hospital ekoran keadaan kesihatannya yang membimbangkan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa meminta penumpang yang menaiki pesawat sama dengan wanita itu agar menghubungi hospital jika mengalami simptom Covid-19.

“Walaupun kita mencatatkan kes pertama Covid-19, risiko wabak itu menular amat rendah,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan David Clark berkata New Zealand melaksanakan langkah untuk menyekat perjalanan dari Iran.

Katanya langkah itu diambil selepas peningkatan jumlah kes di Iran yang menyaksikan 26 orang maut akibat virus itu.

Jumlah kematian di Iran akibat Covid-19 adalah yang kedua tertinggi selepas China. – AFP,  28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen