PERTEMUAN Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad dengan ahli Parlimen Bersatu dan Azmin Ali berakhir selepas kira-kira tiga jam tanpa sebarang pengumuman.
Bekas menteri pembangunan usahawan Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu bahawa pengumuman akan dibuat malam ini tanpa mengulas lanjut.
Redzuan juga enggan mengulas mengenai apa yang dibincangkan oleh ahli Parlimen semasa mesyuarat itu.
Bekas menteri hal ehwal ekonomi Azmin dan bekas menteri pengangkutan Kamaruddin Jaafar juga dilihat meninggalkan bangunan itu.
Mesyuarat itu bermula kira-kira jam 10 pagi di pejabat Dr Mahathir di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur.
Awal pagi ini Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu tiba di Yayasan Al-Bukhary pada jam 9.12 pagi.
Pertemuan itu dipercayai membincangkan perkembangan politik negara termasuk mendapatkan sokongan calonnya untuk menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir meletak jawatan selaku perdana menteri pada Isnin sebelum Bersatu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH di Putrajaya selepas 18 bulan mentadbir.
Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim kini sedang meraih sokongan untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang baharu.
Semalam, Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
Masih tidak dapat dipastikan sama ada Dr Mahathir akan memberi laluan kepada Muhyiddin atau beliau akan tetap merebut jawatan itu. – 28 Februari, 2020.
Komen