Presiden Filipina mengaku pernah bunuh orang


PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengaku pernah menikam orang sampai mati semasa beliau remaja, dalam ucapan mempertahankan kempen perang anti dadah pentadbirannya menjelang sidang kemuncak pemimpin dunia di Manila.

Bercakap kepada masyarakat Filipina di Danang, Vietnam semalam, Duterte juga mengugut untuk menampar pelapor Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) jika bertemunya, dan menggunakan bahasa kesan menyelar pengkritik yang mengutuk keganasan dalam kempennya memerangi dadah.

“Masa saya remaja, saya keluar masuk penjara,” katanya yang berada di Vietnam bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC), lapor The Guardian.

“Pada usia 16, saya sudah bunuh orang. Orang sebenar, dengan menikamnya. Saya Cuma 16 tahun ketika itu. Bagaimana pula sekarang bila saya seorang presiden?”

The Guardian melaporkan Duterte menang pilihan raya tahun lalu selepas berjanji membanteras aktiviti dadah dengan keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini hingga menyebabkan hampir 100,000 orang terbunuh.

Sejak menjawab jawatan presiden 16 bulan lalu, polis dikatakan membunuh 3,967 orang, sementara 2,290 lagi turut dibunuh kerana dipercayai terbabit dalam jenayah berkaitan dadah, sementara ribuan lagi kes kematian tidak diselesaikan, menurut data kerajaan.

Duterte, 72, terus popular dengan ramai rakyat Filipina percaya beliau menjadikan negara itu lebih selamat.

Namun, pengkritik di dalam dan luar negara berkata beliau menjalankan kempen pembunuhan besar-besaran tanpa keadilan, dilaksanakan oleh polis yang rasuah.

Duterte tahun lepas berkata beliau gembira untuk menyembelih tiga juta penagih dadah dan melabelkan bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai “anak pelacur” kerana mengkritik kempen keganasannya itu.

Pada Disember tahun lalu, Duterte sendiri berkata beliau menembak mati seorang suspek jenayah ketika menjadi datuk bandar di Davao.

Di Danang, Duterte menyasarkan pelapor khas PBB Agnes Callamard yang sering mengkritik perang dadah itu sebagai pembunuhan tidak adil.

“Pelapor ini, saya akan tampar dia di depan anda. Kenapa? Kerana kamu menghina saya,” kata Duterte dipetik daripada The Guardian.

Komen terbaru itu dibuat beberapa hari sebelum beliau menyambut ketibaan Presiden Donald Trump dan pemimpin dunia lain ke sidang kemuncak Asean.

Trump dijadualkan ke Manila dari Vietnam bersama pemimpin dunia lain pada Ahad.

Trump memuji cara Duterte mengendalikan perang dadah itu, berkata pemimpin Filipina itu melakukan kerja yang bagus. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen