KONFLIK politik dalam negara belum sampai tahap darurat hingga Parlimen perlu dibubar, kata bekas ketua polis negara Mohammed Hanif Omar.
Beliau yang juga penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, pembubaran Parlimen bukan langkah terbaik kerana perlu berdepan dengan banyak risiko dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
“Krisis dan kemelut politik ini bagi kami tidak perlu sampai bubar Parlimen. Tuanku (Yang Di-Pertuan Agong) juga sedia maklum. Kami menyuarakan pandangan rakyat ini kepada baginda,” katanya kepada pemberita di pintu 3 Istana Negara hari ini.
Terdahulu, bekas ketua polis Musa Hassan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Abu Zahar Ujang memasuki Istana Negara melalui pintu 3 untuk menyerah ‘memorandum menyelamatkan Malaysia’ kepada Yang Di-Pertuan Agong l-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang Di-Pertuan Agong, Nazim Mohd Alim.
Mengulas lanjut, Hanif berkata konflik politik yang berlaku sekarang adalah di luar jangkaan dan ini semua berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai perlembagaan negara.
“Kami juga menolak kerajaan campuran yang dicadangkan itu. Meskipun ia tidak memberi implikasi kepada keselamatan negara, tetapi dari segi akauntabiliti, mereka menjawab kepada siapa nanti.
“Kita perlu ada pembangkang dalam negara untuk timbang tara, ia juga selari dengan sistem perlembagaan. Kuncinya adalah akur kepada perlembagaan dan Yang Di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa eksekutif untuk melantik perdana menteri,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad berkata membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi menyelesaikan kemelut politik ketika ini bukan satu pilihan yang sesuai. Bagaimanapun, ia pilihan terbaik mengembalikan kestabilan politik dan mengembalikan suara rakyat.
Katanya, pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU hanya akan menyebabkan suasana dalam negara menjadi huru-hara. Malah kos untuk mengadakan pilihan raya juga adalah besar, tambah beliau.
“Bincang semula, cari jalan penyelesaian terbaik, kami yakin mereka mampu selesaikan antara mereka dan memilih perdana menteri.
“Tidak perlu mengadakan pilihan raya kerana keadaan masih aman, belum sampai ke tahap darurat atau rakyat turun hingga ke jalan,” katanya. – 28 Februari, 2020.
Komen