TUDUHAN terhadap apa yang Dr Mahathir dapat daripada Putrajaya masih lagi berlarutan hari ini apabila pemimpin berusia 92 tahun itu menyangkal dakwaan kerajaan.
Bekas perdana menteri itu berkata, layanan ke atasnya itu tidak pernah berlaku kerana bekas perdana menteri lain tidak pernah dilayan seperti itu.
“Perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kepada bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn walaupun mereka tidak sokong Kerajaan-kerajaan pada masa itu,” kata Dr Mahathir dalam posting terbaharu di blognya chedet.cc hari ini.
Beliau berkata Putrajaya telah menarik balik sebahagian daripada keistimewaan itu malah beliau disekat daripada menggunakan kemudahan awam.
Dr Mahathir berkata Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 menyebut bekas perdana menteri boleh menggunakan pesawat kerajaan untuk membuat perjalanan.
“Sekarang tidak dibenar. Sebaliknya sesiapa yang cuba memberi pinjam pesawat persendirian dilapor kepada Jabatan Perdana Menteri,” kata pengerusi pakatan pembangkang Pakatan Harapan itu.
Beliau berkata semasa meletakkan jawatan sebagai penasihat Proton, beliau dipecat sebagai penasihat Petronas dan canselor Universiti Teknologi Petronas.
Berhubung keselamatan, pengerusi Bersatu itu berkata, beliau diberikan dua pengiring dan empat pengawal Unit Tindakan Khas selepas disembur penyembur lada pada 2006.
“Dua pengiring motorsikal, 4 pengiring UTK yang dibekal selepas semburan pemedih mata, telah ditarik balik walaupun mantan perdana menteri lain masih dibekal,” katanya yang juga bekas presiden Umno.
Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan pernah menyewa ruang pejabat kepadanya di Yayasan Kepimpinan Perdana, namun selepas pajakan itu tamat, beliau diminta berpindah ke pejabat kerajaan yang mana beliau dapati ia tidak sesuai.
Bekas pemimpin Barisan Nasional itu juga berkata beliau turut disekat daripada menggunakan kemudahan yang dikawal kerajaan persekutuan, kerajaan negeri BN dan bandaraya.
“Dewan swasta diberi amaran akan menerima padah jika disewa kepada sesiapa yang menjemput Dr Mahathir,” tambahnya.
Jabatan Perdana Menteri semalam mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah menarik balik sebarang kemudahan yang diberikan kepada bekas perdana menteri, termasuk Dr Mahathir.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan masih membekalkan pegawai untuk pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana dan di kediamannya selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980. – 10 November, 2017.
Komen