Warkah terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong


AMPUN Tuanku,

Mutakhir ini kepimpinan cabang eksekutif negara berada dalam kekalutan akibat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Patik memohon izin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dengan penuh hormat dan rendah diri pandangan kepada Tuanku. 

Sesungguhnya patik yakin dan percaya, kearifan Tuanku dalam hal ini pasti mampu memberikan jalan keluar yang seadilnya.

Patik berpandangan bahawa perilaku Dr Mahathir dalam kemelut ini adalah tidak wajar. Malah, dalam aspek tertentu kelihatan sangat mencabar bidang kuasa Tuanku dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Pertama, tindakan Dr Mahathir mengganggu kuasa dan budi bicara Tuanku dalam melantik perdana menteri atau membubarkan Parlimen.

Hal ini jelas melihat kepada tindakan Dr Mahathir yang nampaknya mendahului Istana dengan mengusulkan atau memberikan andaian bahawa, jika dibenar, beliau akan menjadi perdana menteri kepada sebuah kerajaan campuran, yang tidak berasaskan parti dan kepentingan politik.

Tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan sangat tidak menghormati proses penentuan perdana menteri, yakni calon yang diyakini mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti, yang masih dalam kiraan dan pertimbangan oleh pihak Tuanku.

Kedua, Dr Mahathir adalah seorang perdana menteri interim yang mempunyai had dan bidang kuasa terhad.

Namun, tindakan beliau tidak menggambarkan bidang kuasa yang terhad dan sementara. Sebaliknya, beliau bertindak seperti seorang perdana menteri yang berkuasa penuh untuk melantik Kabinet dan mengadakan sidang Parlimen.

Ketiga, kuasa melantik adalah bersama Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Sudah pasti Dr Mahathir sedar, bukan Parlimen yang menentukan atau melantik perdana menteri. 

Adalah tidak tepat untuk Dr Mahathir terus memberikan gambaran bahawa beliau adalah perdana menteri berkuasa penuh yang mesti kekal kerana mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. 

Ini kerana, kuasa melantik perdana menteri adalah sepenuhnya di bawah YDPA dan bukannya Parlimen seperti yang dicadangkan oleh Dr Mahathir

Saranan beliau bahawa pelantikan perdana menteri adalah ditentukan oleh Parlimen adalah salah, tidak mempunyai asas undang-undang, mencabar lunas keluhuran Perlembagaan dan sangat tidak menghormati kuasa dan fungsi YDPA dalam melantik perdana menteri.

Sedangkan, sekiranya Tuanku tidak yakin bahawa seseorang pemimpin itu mempunyai kepercayaan dan sokongan dewan, yang lebih molek adalah untuk Tuanku membubarkan Parlimen. Bukannya menyerahkan tugas dan kuasa melantik perdana menteri tersebut kepada Parlimen.

Patik percaya bahawa Tuanku akan bertindak dengan cara yang mengangkat kepentingan rakyat jelata dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Patik yakin bahawa tindakan dan perilaku yang ditonjolkan oleh Dr Mahathir nyata bertujuan menjaga kepentingan politik beliau secara peribadi dan kepentingan rakanrakan politiknya dalam parti. Bukannya demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Semoga pandangan patik ini akan diperhalusi dan diberikan perhatian oleh Tuanku.

Menjunjung kasih Tuanku. – 28 Februari, 2020.

* Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen