PIHAK berkuasa Turki menahan 82 warga asing yang merancang untuk ke Syria dipercayai mempunyai kaitan dengan IS dalam serbuan anti keganasan di Istanbul, lapor media negara itu pada Jumaat.
Suspek sebelum ini terbabit dengan kumpulan ekstremis IS di “zon konflik”, menurut agensi berita Anadolu tanpa memberikan butiran lanjut.
Kesemua mereka ditahan menerusi serbuan yang dibuat di 144 alamat yang turut merancang untuk memasuki Syria “bila tiba masanya”, menurut laporan itu.
Sementara itu, di selatan bandar Adana, 11 orang dipercayai ahli kumpulan IS yang juga warga Syria turut ditahan, kata agensi itu dalam laporan yang sama.
Penahanan itu dibuat sehari selepas serbuan di Ankara yang mana 173 orang ditahan berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan penganas.
Seramai 1,500 anggota polis terlibat dalam serbuan itu selepas pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap ke atas 245 suspek.
Menurut kementerian dalam negeri, kira-kira 450 suspek ditahan atas tuduhan membantu dan cuba menghubungi IS pada Oktober.
Turki berdepan siri serangan keganasan yang didalangi IS sejak dua tahun lalu, termasuk serangan di sebuah kelab malam popular di Istanbul ketika sambutan tahun baru yang menyaksikan 39 orang dibunuh lelaki bersenjata daripada IS.
Abdulgadir Masharipov dari Uzbekistan sebelum ini mengaku bertanggungjawab ke atas serangan pada 2017 dan akan dibicarakan di Istanbul pada 11 Disember depan.
Turki menjadi sasaran serangan IS sejak 2015 selepas Ankara membenarkan tentera Amerika Syarikat menjalankan serangan udara ke atas sasaran IS melalui pangkalan udara Turki di selatan Incirlik sejak Ogos 2015. – AFP, 10 November, 2017.
Komen