Pilihan raya beri kelebihan pada Umno, PAS, kata penganalisis 


Chan Kok Leong

Jumlah keluar mengundi dijangka rendah berikutan kemelut politik baru-baru ini, namun ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan PAS.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

PILIHAN raya baharu akan menyaksikan Barisan Nasional atau Umno dan PAS akan kembali berkuasa, kata penganalisis yang menambah mereka mampu menarik sokongan pengundi Melayu. 

Terdapat juga potensi yang mana kebanyakan pengundi memilih untuk pilihan raya diadakan kerana kecewa dan penat,” kata Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Tayeb.

Jumlah keluar mengundi dijangka rendah, kerana kemelut politik baru-baru ini, dan ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan PAS, tambahnya.

“Saya merasakan sukar untuk mana-mana pakatan mendapat majoriti memikirkan sikap perkauman yang berlaku sekarang dan ada kemungkinan berlakunya Parlimen tergantung selepas pilihan raya.”

Sementara itu, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bersetuju bahawa Muafakat Nasional mempunyai kelebihan sekiranya pilihan raya baharu diadakan.

“Parti Melayu itu punyai peluang yang besar kerana kebanyakan kerusi cenderung kepada majoriti Melayu berbanding campuran,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pihak masih boleh melobi bagi mendapatkan sokongan yang cukup daripada Malaysia Timur sekiranya mereka mahu pilihan raya diadakan.

Dalam masa yang sama, Presiden PKR Anwar Ibrahim masih boleh berunding dengan Gabungan Parti Sarawak dan Warisan atau Umno,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia. 

“Kesemua tiga blok terbuka sekiranya Anwar tawarkan sesuatu seperti jawatan timbalan perdana menteri kepada Sabah dan Sarawak.

“Namun jika beliau gagal berbuat demikian, parti Melayu akan menang,” kata Mazlan.

Semua penganalis ini mengulas mengenai pengumuman Dr Mahathir Mohamad semalam yang mahu mengadakan sidang Dewan Rakyat pada 2 Mac bagi menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Walaupun dua hari temuduga diadakan di Istana Negara minggu ini, Yang Di-Pertuan Agong tidak dapat menentukan ahli Parlimen yang mempunyai majoriti dalam 222 kerusi Dewan Rakyat.

Semalam, Pakatan Harapan, yang mempunyai 92 Ahli Parlimen, berkata ia telah mencalonkan Anwar manakala Barisan Nasional dan PAS, yang mempunyai jumlah gabungan sebanyak 60 Ahli Parlimen, berkata mereka memilih untuk mengadakan pilihan raya baru.

Bersatu, yang mempunyai 26 Ahli Parlimen, dan 11 ahli Parlimen yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali, berkata mereka menyokong Dr Mahathir.

Parti Warisan Sabah dan Upko, yang mempunyai gabungan sebanyak 10 orang ahli Parlimen, dan Gabungan Parti Sarawak (18) belum menyatakan siapa yang disokongnya. – 28 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen