Dr Mahathir tak wajar dahului titah Agong, kata Pakatan


Noel Achariam

Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil ketika ditemui selepas mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan di Petaling Jaya malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Februari, 2020.

TINDAKAN Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan perdana menteri adalah tidak wajar, kata Pakatan Harapan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, dengan berbuat demikian, perdana menteri interim mencabar hak dan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

Terdahulu hari ini, Dr Mahathir berkata, Dewan Rakyat akan bersidang pada Isnin untuk mengundi menentukan ahli Parlimen mana yang mempunyai majoriti sokongan sebagai perdana menteri.

Katanya, undian dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong yang menemuduga ahli Parlimen tidak dapat memastikan siapa yang ada majoriti untuk mengetuai kerajaan.

Majlis Presiden PH yang mengadakan mesyuarat tergempar di sebuah hotel di Petaling Jaya malam ini juga berkata, sebarang keputusan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang esok perlu dihormati.

Tambahnya, hak dan kuasa melantik seseorang perdana menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan berkata, apa yang penting ialah untuk menghormati Raja Melayu dan berikan ruang untuk mereka membuat pertimbangan.

“Kita perlu beri ruang kepada Agong untuk menyampaikan titah berhubung perkara ini. Selepas ianya jelas, saya rasa selepas itu baru kita boleh bincang bila masa yang sesuai (untuk melantik perdana menteri).

“Kita masih belum terima sebarang notis berhubung sidang Parlimen pada Isnin. Kami akan tunggu pengumuman oleh Speaker,” katanya.

Situasi politik negara mula dilanda kemelut selepas Dr Mahathir membuat pengumuman meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin.

Sejak itu, partinya, Bersatu bertindak keluar daripada Pakatan Harapan dan menyebabkan kerajaan persekutuan berantakan.

Susulan peletakan jawatan itu, Dr Mahathir kemudian dilantik sebagai perdana menteri sementara oleh Agong.– 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen