Ladang nanas pertama dibuka di Gaza


Petani Palestin menuai tanaman gandum sebelum diproses menjadi tepung. Petani di Palestin berdepan sekatan daripada Israel sejak berdekad lalu menyebabkan sukar untuk memajukan pertanian bagi memastikan kebergantungan kepada bekalan makanan sendiri – Gambar EPA, 10 November, 2017.

NANAS dituai buat pertama kalinya di Jalur Gaza sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pengeluaran sendiri makanan di wilayah Palestin yang miskin.

Pengeluaran buah berkenaan untuk pasaran domestik, ditanam di rumah hijau berkeluasan 1,000 meter persegi di pekan Khan Yunis di selatan Jalur Gaza merupakan sebahagian daripada projek yang dibiayai kerajaan Belanda. 

Jurutera pertanian yang menyelia projek berkenaan Mussa al-Jadba memberitahu AFP mereka menuai nanas buat pertama kalinya di Jalur Gaza yang bersuhu sederhana selepas mencipta persekitaran dan iklim yang sesuai untuk tanaman itu. 

Setakat ini, 250 pokok mencapai usia matang dengan 4,000 dijangka mengeluarkan hasil menerusi tuaian ini. 

Matlamatnya adalah untuk memajukan tanaman baharu bagi membantu petani di Gaza mencapai kebergantungan sendiri, tambah Jadba. 

“Jalur Gaza pada asasnya berdepan masalah air masin, yang menggalakkan kesatuan untuk menanam nanas kerana ia tidak memerlukan banyak air,” tambahnya merujuk kepada kesatuan pertanian. 

Gaza berdepan dengan masalah pencemaran air dengan 95% air bawah tanahnya tidak bersih, yang boleh menjurus kepada masalah wabak penyakit yang serius. 

Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu juga memberi amaran kawasan jalur itu tidak boleh dihuni menjelang 2020. 

Israel mengenakan sekatan terhadap Gaza sejak berdekad lalu, atas alasan keselamatan.  – AFP, 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen