Umno minta akar umbi buat persiapan hadapi pilihan raya


SM Amin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata arahan tersebut selari dengan pendirian parti yang mahukan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Februari, 2020.

UMNO hari ini mengarahkan pimpinan di peringkat bahagian agar membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, arahan tersebut selari dengan pendirian parti yang mahukan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya dijalankan susulan tiada pihak yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan ketika ini.

“Selari dengan keputusan parti yang telah memohon supaya Parlimen dibubarkan, maka adalah wajar bagi kita buat persiapan ke arah itu.

“Walaupun kita tidak tahu apakah keputusan yang akan dibuat oleh Istana Negara nanti, sebagai sebuah parti, kesiapsiagaan untuk pilihan raya adalah satu perkara yang berterusan,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas presiden dan Majlis Tertinggi Umno mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno seluruh negara hari ini.

Dalam pertemuan yang dihadiri 180 ketua bahagian itu, Umno turut mengeluarkan pekeliling termasuk garis panduan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Dalam perjumpaan hari ini, saya sudah keluarkan pekeliling supaya jentera Barisan Nasional, Umno seluruh negara mula bergerak bersama PAS melalui Muafakat Nasional untuk membuat persiapan yang berkaitan pilihan raya.

“Kita juga berikan garis panduan tentang bagaimana mekanisme kerjasama antara parti kita dan PAS di semua peringkat termasuk negeri, bahagian, DUN dan pusat daerah mengundi,” katanya.

Selasa lalu, gabungan blok pembangkang mencapai kata sepakat bahawa Parlimen harus dibubarkan dan syor berkenaan telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Annuar, syor berkenaan sebagai satu bentuk keadilan kepada sistem demokrasi dan mandat perlu dikembalikan semula kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Katanya, persepakatan itu juga sebagai tanda mereka menolak penubuhan kerajaan perpaduan yang mahu dibentuk Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri interim yang turut melibatkan kerjasama dengan DAP.

Ketika diminta mengulas mengenai senario politik di Johor, sidang khas Parlimen dan beberapa isu lain, Annuar berkata pihaknya tidak dapat memberi sebarang komen selagi Yang di-Pertuan Agong tidak membuat sebarang keputusan.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menegaskan, sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan oleh presiden dan setiausaha agung parti sahaja, selari dengan pendirian yang dibuat oleh rakan sekutu PAS.

“Tiada sebarang kenyataan lain sehingga Istana Negara buat keputusan secara rasmi,” katanya.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berpuas hati dengan cadangan penubuhan kerajaan negeri baharu terdiri daripada gabungan Bersatu, Umno, MIC dan PAS selepas menemubual 54 wakil rakyat negeri itu semalam.

Petang tadi, Perdana Menteri interim Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin ini untuk mengundi menentukan ahli Parlimen mana yang mempunyai majoriti sokongan untuk jadi perdana menteri.

Katanya, undian dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong tidak dapat memastikan siapa yang ada majoriti, selepas menemuduga 222 Ahli Parlimen.– 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen