Dewan Rakyat tentukan PM Isnin ini, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad berkata undian dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong tidak dapat pastikan siapa yang ada majoriti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Februari, 2020.

PILIHAN raya akan diadakan semula sekiranya 222 ahli Parlimen tidak dapat menentukan siapa dalam kalangan mereka yang mempunyai majoriti wajar untuk mengetuai kerajaan, kata Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Dewan Rakyat akan bersidang pada Isnin ini untuk mengundi menentukan ahli Parlimen mana yang mempunyai majoriti sokongan sebagai perdana menteri.

Katanya, undian dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong yang menemuduga ahli Parlimen tidak dapat memastikan siapa yang ada majoriti untuk mengetuai kerajaan.

“Jadi Parlimen akan bersidang pada 2 haribulan depan… siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan jadi perdana menteri.

“Bagaimanapun kalau Dewan Rakyat gagal mendapatkan orang yang ada majoriti, kita perlu adakan pilihan raya,” katanya.

Kedudukan di Dewan Rakyat

Majoriti mudah di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi ialah 112.

Pada masa ini, selepas perkembangan politik minggu ini, Pakatan Harapan mempunyai 92 kerusi melalui gabungan DAP (42), PKR (39), dan Amanah (11).

Bersatu yang keluar daripada PH pada Isnin lalu mempunyai 26 kerusi.

Barisan Nasional dan PAS mempunyai keseluruhan 61 kerusi. BN terdiri daripada Umno (39), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1), sementara PAS (18).

Kumpulan ahli Parlimen bekas anggota PKR yang bersama bekas timbalan presiden parti itu mempunyai 11 kerusi.

Dari Sabah dan Sarawak, Gabungan Parti Sarawak mempunyai 18 ahli Parlimen sementara Parti Warisan Sabah ada 9.

Parti-parti politik lain di dua negeri itu melengkapkan jumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu Parti Bersatu Sarawak (1), Upko (1), Gabungan Bersatu Sabah (2), dan seorang wakil rakyat bebas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun hari ini dipetik Malaysiakini berkata pilihan raya umum sekali lagi dijangka menelan kos antara RM700 hingga RM800 juta. – Bernama, 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen