Kerajaan tanpa parti politik tidak praktikal


PERTAMA sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih pada Dr Mahathir Mohamad kerana menjelaskan secara terbuka bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ke-7 Malaysia kerana salah satunya beliau tidak boleh menerima Umno sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.

Pendirian berprinsip beliau ini adalah sebab mengapa parti DAP pada asalnya menjemput Dr Mahathir untuk mengetuai semula gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, Dr Mahathir pula mencadangkan untuk menubuhkan kerajaan yang terdiri daripada individu daripada parti politik, dan juga bukan ahli politik.

Antara sebab-sebab mengapa cadangan ini tidak boleh diterima oleh DAP dan Pakatan Harapan serta mengapa kerajaan ini tidak dapat berfungsi secara praktikal adalah seperti berikut:

1. Kerajaan baru ini TIDAK akan dipimpin oleh Pakatan Harapan, iaitu gabungan parti yang diundi oleh rakyat Malaysia pada PRU14.

2. Kerajaan baru ini TIDAK akan terikat dengan manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 (termasuk persetujuan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim).

3. Kerajaan baru ini berkemungkinan besar akan merangkumi individu yang memainkan peranan besar dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

4. Tiada pemahaman yang jelas berkenaan dengan bentuk komitmen terhadap polisi oleh kerajaan baru.

5. Tiada akauntabiliti kepada pengundi pada PRU15.

6. Kerajaan baru tidak mempunyai majoriti yang kukuh untuk meluluskan undang-undang di Parlimen.

7. Tiada pihak pembangkang atau Kerajaan yang jelas di dalam Parlimen.

8. Malaysia merupakan negara yang menggamalkan sistem Demokrasi Berpalimen dan bukan Sistem Presiden seperti Indonesia atau Amerika Syarikat.

Penerangan yang lebih terperinci adalah seperti berikut:

1. Kerajaan baru ini TIDAK akan dipimpin oleh Pakatan Harapan, iaitu gabungan parti yang diundi oleh rakyat Malaysia pada PRU14.

Rakyat Malaysia telah memberi mandat yang jelas semasa PRU14 dengan mengundi 116 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan lapan ahli Parlimen Parti Warisan dari Sabah. Adalah tidak betul sekiranya mandat ini diabaikan dan sebuah kerajaan dibentuk tanpa mempunyai mandat yang sama oleh rakyat. Kerajaan yang tidak berpusatkan kepada PH boleh dianggap sebagai mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.

2. Kerajaan baru ini TIDAK akan terikat dengan manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 (termasuk persetujuan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim).

PH telah diundi sebagai kerajaan kerana komitmen kami kepada matlamat yang sama iaitu Manifesto PH pada PRU14. PH masih komited dalam menunaikan dan melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam manifesto ini.

Kerajaan baru yang dicadangkan ini, memandangkan ia tidak dipimpin oleh PH, tidak akan mempunyai sebarang kewajipan terhadap komitmen yang diberikan dalam Manifesto PRU14.

Bagi Dr Mahathir sendiri, sekiranya dia mengetuai Kerajaan baru ini, tidak akan tertakluk pada manifesto PH kerana ia adalah Kerajaan baru yang dirangka bawah pimpinan beliau dan Kabinet yang tidak berpaksikan kepada PH.

Tiada juga kewajipan untuk Dr Mahathir untuk berundur sebelum PRU15 dan bersetuju dengan peralihan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya seperti persetujuan PH sebelum PRU14.

Dr Mahathir tidak lagi terikat dengan janji beliau sebelum ini untuk melepaskan jawatan selepas Persidangan APEC untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar.

3. Kerajaan baru ini berkemungkinan besar akan merangkumi individu yang memainkan peranan besar dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Memandangkan Dr Mahathir diberikan kuasa mutlak di dalam memilih dan melantik ahli Kabinet tanpa mengambilkira perkaitan politik, beliau mungkin akhirnya akan memilih individu yang menjadi dalang di dalam menjatuhkan Kerajaan PH.

Adalah tidak diterima untuk meminta pemimpin PH untuk duduk bersama sebagai ahli Kabinet bersama dengan pihak yang dianggap sebagai pengkhianat dan telah dipecat daripada parti mereka. Ini juga adalah perkara yang tidak boleh diterima bagi penyokong parti dan pengundi.

4. Tiada pemahaman yang jelas berkenaan dengan bentuk komitmen terhadap polisi Kerajaan oleh Kerajaan baru.

Dalam ucapan televisyen beliau semalam, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau ingin membentuk kerajaan bukan partisan yang mengutamakan kepentingan negara.

Walaupun ia berbunyi murni dan berjiwa tinggi, daripada segi praktikal tiada pemahaman yang jelas berkenaan dengan definisi ‘kepentingan negara’ ini.

Bagi kerajaan PH, titik rujukan bagi polisi yang akan diutamakan adalah Manifesto PH PRU14. Ada kemungkinan bahawa di bawah kerajaan baharu ini, polisi kepentingan negara akan ditentukan berdasarkan pandangan Dr Mahathir sekalipun ianya mungkin bertentangan dengan Manifesto PH PRU14.

Idea Kerajaan ‘perpaduan’ adalah mengelirukan kerana asas perpaduannya masih tidak jelas selain daripada barisan kabinet akan dilantik dan diketuai oleh Dr Mahathir.

Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa golongan teknokrat adalah pentadbir dan pembuat dasar yang lebih baik daripada ahli politik tetapi ini tidak semestinya benar.

Teknokrat juga mempunyai kepentingan diri sendiri dan pegangan politik sendiri dan pendapat sendiri terhadap dasar-dasar yang dikira mewakili ‘kepentingan negara’.

5. Tiada akauntabiliti kepada pengundi pada PRU15.

Sejurus selepas PRU14, kami sedar bahawa PH akan dinilai oleh para pengundi pada PRU15 berdasarkan keupayaan kami untuk melaksanakan Manifesto PH GE14 kami. Tetapi jika Kerajaan baharu tiada kewajiban untuk menunaikan janji dalam Manifesto PH PRU14, maka kami tidak dapat mempertahankan akauntabiliti kami kepada pengundi pada PRU seterusnya.

Tambahan lagi, ahli Parlimen yang dilantik sebagai barisan Kabinet oleh Dr Mahathir tidak akan bertanggungjawab kepada parti politik masing-masing.

Sebagai contoh, jika mereka bersetuju dengan keputusan Kabinet yang bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh parti mereka, mereka perlu sama ada meletakkan jawatan daripada Kabinet atau mereka perlu meletakkan jawatan daripada parti masing-masing.

Di kemudian hari, jika Kerajaan ini dapat bertahan sehingga PRU15, ia akhirnya akan terdiri daripada ahli politik tanpa parti dan golongan teknorat yang tidak diundi semasa PRU.

6. Kerajaan baru tidak mempunyai majoriti yang kukuh untuk meluluskan undang-undang di parlimen.

Ini akan menjadi cabaran daripada segi praktikal yang akan dihadapi oleh Kerajaan baru di dalam Parlimen, jika dibentuk mengikut prinsip yang dicadangkan oleh Dr Mahathir.

Tiada kepastian bahawa undang-undang yang dibentangkan akan dapat diluluskan. Mana-mana kumpulan parti politik mungkin akan bekerjasama untuk memastikan undang-undang penting seperti Belanjawan tidak diluluskan.

Tiada juga kewajipan mana-mana parti politik untuk menyokong bil Kerajaan kerana Kerajaan adalah Kerajaan tidak berparti. Kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti untuk menyokong rang undang-undang Kerajaan untuk mengelak daripada PRU mengejut terutamanya apabila BN dan PAS secara terbuka meminta ia diadakan.

Usul undi tidak percaya boleh dibentangkan semasa sesi Parlimen dan Kerajaan tidak mempunyai jaminan ia tidak diluluskan.

Dalam erti kata lain, Kerajaan baru boleh tumbang bila-bila masa semasa sesi parlimen.

7. Tiada pihak pembangkang yang jelas di dalam Parlimen (dan Kerajaan juga!)

Kerajaan yang terdiri daripada individu yang berkebolehan mungkin berbunyi bagus di atas kertas, namun ianya bercanggah dengan semangat demokrasi berparlimen.

Sekiranya kerajaan Dr Mahathir dilantik, ada kebarangkalian ianya terdiri daripada Ahli Parlimen daripada semua parti politik. Jika individu daripada semua parti dilantik ke Kabinet, siapakah yang akan memainkan peranan semak dan imbang di dalam Parlimen? Siapa akan menjadi Pembangkang di dalam Parlimen?

Adalah tidak diterima jika Ahli Parlimen secara individu akan memainkan peranan sebagai Pembangkang dan semak dan imbang kerana proses ini tiadanya akauntabiliti awam.

Tiada jaminan bahawa Ahli-ahli Parlimen ini akan dicalonkan semasa PRU15 untuk di dipertanggungjawabkan keputusan mereka di dalam Parlimen dan parti mereka juga tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana tiada peranan jelas parti untuk bertindak sebagai pembangkang atau kerajaan.

8. Malaysia merupakan negara yang mengguna pakai sistem Demokrasi Berparlimen dan bukan Sistem Presiden seperti Indonesia atau Amerika Syarikat.

Ramai yang menyatakan Indonesia atau Amerika Syarikat sebagai contoh bagaimana Kabinet terdiri daripada ahli politik dan golongan teknokrat boleh dilantik.

Tetapi contoh-contoh ini adalah daripada sistem berpresiden sementara Malaysia mengamalkan sistem berparlimen. Presiden secara terus bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan Kabinet mereka melalui pilihan raya presiden.

Di dalam sistem berparlimen, parti politik perlu berdepan dengan pengundi di dalam PRU.

Dr Mahathir sendiri tidak bertanggungjawab kepada pengundi di bawah struktur Kerajaan yang dicadangkannya. Sekiranya beliau ingin bertanding lagi pada PRU15 (apabila beliau berumur 98 tahun), tiket parti manakah yang beliau akan pilih?

Gabungan besar atau Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di dalam sistem berparlimen seperti di Jerman kebelakangan ini, namun tidak pernah wujudnya sebuah kerajaan dimana ianya merangkumi ahli politik daripada pelbagai parti politik yang tidak dicadangkan oleh parti politik mereka dan tidak mempunyai sokongan parti sendiri untuk berada di dalam Kabinet.

Sebab utama Kabinet seperti ini tidak pernah wujud adalah kerana secara asasnya ia tidak boleh berfungsi dengan baik dan tidak kukuh.

Ini antara sebab utama kenapa cadangan kerajaan individu tidak berparti oleh Dr Mahathir tidak dapat diterima oleh PH dan secara jujurnya, tidak boleh berfungsi dengan baik dan tidak stabil. – 27 Februari, 2020.


* Ong Kian Ming merupakan Ahli Parlimen Bangi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen