Masih ada kemungkinan Pakatan kembali terima Bersatu, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Pakatan Harapan tidak menolak kemungkinan menerima Beratu kembali, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Februari, 2020.

WUJUD kemungkinan untuk Pakatan Harapan kembali menerima Bersatu kerana perubahan berlaku setiap masa, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu bagaimanapun mengakui isu penerimaan semula itu tidak dibincangkan pada mesyuarat pemimpin PH di Eastin Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau juga mendedahkan isu merapati semula Dr Mahathir Mohamad juga tidak timbul.

“Hal itu tak berbangkit di dalam mesyuarat namun sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana ia berubah dari sehari ke sehari.

“Setakat ini kami adalah PH, mereka meninggalkan PH,” katanya.

Dr Mahathir mengejutkan negara dan sekutu politiknya apabila meletak jawatan perdana menteri, Isnin lepas.

Ia diikuti pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang partinya keluar PH yang membawa kepada kejatuhan kerajaan di Putrajaya.

Dr Mahathir kemudiannya membuat kejutan sekali lagi apabila berundur selaku pengerusi Bersatu.

Pemimpin PH, semalam, mendedahkan yang mereka berhubungan dengan Dr Mahathir untuk menawarnya kembali menyertai pakatan dan menjadi perdana menteri lagi, tetapi tawaran itu ditolak.

PH kemudiannya menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, berharap mereka boleh membentuk kerajaan minoriti.

Semalam juga, Dr Mahathir dalam perutusan khasnya menimbulkan kemungkinan penubuhan kerajaan tanpa parti politik.

Tetapi hari ini, beliau kembali menerima jawatan dalam Bersatu, mencetuskan persoalan yang beliau sedang berusaha meraih sokongan untuk membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri sekali lagi. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen