Pakatan perlu pilih jadi kerajaan minoriti


KEMELUT politik Malaysia telah berkembang ke situasi di mana Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad bercadang menubuhkan kerajaan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

Walaupun ketika ini, tiada mana-mana gabungan parti mampu memperolehi sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, tetapi gabungan Pakatan Harapan mempunyai sokongan 92 ahli parlimen yang mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk menerajui kerajaan.

Keadaan politik Malaysia menjadi semakin hangat di mana sekarang kita mengalami kerajaan “deadlock”, yang merujuk kepada satu keadaan tiada parti atau gabungan politik yang mampu memperolehi majoriti kerusi di Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Dengan ini, Dr Mahathir mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan (Unity Government) yang membolehkan setiap ahli Parlimen memberi sokongan kepada kerajaan dalam unit individu bukannya parti serta beliau boleh melantik sesiapa sahaja dari mana-mana parti sebagai anggota Kabinet.

Sering kali kita mendengar pembentukan kerajaan perpaduan bertujuan untuk rekonsiliasi atau perdamaian antara blok parti politik supaya negara boleh berkembang dan keluar daripada deadlock.

Walau bagaimanapun, badan pemikir KPRU berpendapat bahawa langkah pembentukan kerajaan perpaduan yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir adalah tidak praktikal dalam keadaan politik sekarang.

Apa yang diperlukan dalam keadaan sekarang?

Apa yang diperlukan bukanlah pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir yang tidak berlandaskan parti tetapi lebih mengutamakan ahli parlimen sebagai unit individu.

Berikut adalah senario-senario pembentukan kerajaan yang lebih praktikal daripada cadangan Dr Mahathir:

Pertama, atas sokongan 92 ahli parlimen daripada Pakatan Harapan (PH 2.0) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah kepada Anwar maka beliau diberi keutamaan untuk membentuk kerajaan minoriti.

Kedua, dengan keutamaan di atas, PH 2.0 boleh mendapat sokongan pihak lain khususnya parti-parti Sabah dan Sarawak dengan menandatangani “perjanjian kepercayaan dan perbekalan” (confidence and supply deal or 信任与供应协议).

Ketiga, berikutan perjanjian di atas, kerajaan minoriti PH 2.0 boleh membawa satu usul kepercayaan terhadap Anwar sebagai perdana menteri di Parlimen. Perjanjian tersebut bermaksud pihak yang menandatangani menyokong kepemimpinan kerajaan minoriti PH 2.0 di bawah Anwar sebagai perdana menteri apabila belah bahagi dijalankan berkenaan usul kepercayaan.

Keempat, perjanjian tersebut juga bermaksud pihak yang menandatangai menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan yang melibatkan perkara kewangan negara yang dibawa oleh kerajaan minoriti PH 2.0 di bawah Anwar.

Kelima, berikutan kejayaan pembentukan kerajaan minoriti, seterusnya PH 2.0 boleh mengundang pihak lain untuk membentuk kerajaan campuran.

Senario-senario di atas adalah lebih praktikal kerana pembentukan kerajaan adalah berpaksikan PH 2.0 sebagai gabungan parti politik.

KPRU berpendapat bahawa pembentukan kerajaan minoriti lebih sesuai dengan perkembangan politik semasa.

Kerajaan minoriti tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia tetapi ia merupakan perkara biasa di negara lain seperti United Kingdom di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri Theresa May apabila parti konservatif hanya memperolehi 317 kerusi di Parlimen UK berbanding dengan jumlah kerusi 650.

Meskipun PH 2.0 tidak memenuhi majoriti iaitu sekurang-kurangnya 112, tetapi merupakan blok yang mempunyai sokongan terbanyak di parlimen. Berdasarkan amalan perlembagaan, pembentukan kerajaan harus diberi hak keutamaan kepada pihak yang mempunyai pluraliti.

Anwar yang mempunyai sokongan 92 ahli parlimen harus diberi keutamaan untuk membentuk kerajaan dengan pihak lain. Malahan, adalah wajar bagi PH 2.0 menubuhkan kerajaan supaya manifesto dan agenda reformasi dapat dilanjutkan.

KPRU juga berpendapat kali ini adalah peluang emas bagi parti-parti politik di Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan kedudukan negeri masing-masing dalam pembentukan kerajaan persekutuan.

Walaupun konflik sering berlaku antara parti pemerintah dengan parti pembangkang, tetapi pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 50 tahun iaitu RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak berbanding RM26.7 juta dan RM16 masing-masing setiap tahun pada 50 tahun lalu.

Tindakan sebegini menunjukkan kerajaan PH mementingkan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak. 

Justeru itu, KPRU berharap kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mampu memilih yang terbaik demi kepentingan warga negeri masing-masing. Dengan sokongan negeri Sabah dan Sarawak, kerajaan minoriti akan berkembang kepada kerajaan majoriti.

Kesimpulannya, pembentukan kerajaan minoriti lebih realistik dan praktikal berbanding kerajaan perpaduan berasaskan individu dalam konteks Malaysia terkini.

Dengan ini, KPRU menyeru bahawa Anwar harus diberi keutamaan dalam pembentukan kerajaan memandangkan beliau mempunyai sokongan yang tertinggi di Dewan Rakyat. – 27 Februari, 2020.

*Ooi Heng ialah pengarah eksekutif KPRU.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen