MAJLIS Tertinggi Umno hari ini akan mengadakan pertemuan khas dengan ketua-ketua bahagian Umno seluruh negara jam 3 petang ini, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.
Perjumpaan di ibu pejabat parti itu akan diketuai oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Hari ini semua ketua Umno bahagian seluruh negara dipanggil serta merta ke Kuala Lumpur untuk satu pertemuan khas bersama dengan presiden dan MKT Umno jam 3 petang di PWTC,” tulis Annuar di Twitter hari ini.
Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Jahaya Ibrahim ketika dihubungi memaklumkan beliau menerima jemputan tersebut malam tadi untuk hadir dalam pertemuan khas tersebut.
“Saya diberitahu malam tadi tetapi butiran pertemuan tidak diperincikan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah berkata pertemuan khas tersebut hanya untuk memberi penjelasan berhubung situasi semasa perkembangan politik tanahair.
Jelasnya, Umno akar umbi diberi penerangan situasi terkini supaya mereka dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Dalam seminggu dua ini banyak perkara yang berlaku. Jadi hari ini kita panggil ketua-ketua bahagian untuk beri penjelasan.
“Umno di peringkat akar umbi perlu diberi maklumat terkini supaya apa jua yang berlaku selepas ini, akar umbi bersedia,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Isnin lalu, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) runtuh selepas Dr Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai perdana menteri. Pada hari yang sama, Bersatu keluar daripada PH sementara Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat daripada PKR. Sembilan ahli Parlimen PKR kemudian keluar parti.
Yang di-Pertuan Agong kemudian memanggil semua ahli Parlimen ke Istana Negara pada Selasa dan Rabu untuk ditemuduga bagi menentukan sokongan mereka untuk memilih perdana menteri baharu.
Barisan Nasional dan PAS memohon agar Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen kerana tidak menyokong sebarang usaha membentuk kerajaan campuran yang melibatkan DAP. – 27 Februari, 2020.
Komen