Muafakat Pakatan pilihan lebih baik daripada 'kerajaan tanpa parti'


TIDAk lama selepas siaran oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengadakan sidang medianya sendiri di Ibu Pejabat PKR.

Secara rasminya diumumkan PH – ahli Parlimen PKR, DAP dan Amanah mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai PM.

Malaysia tidak memerlukan pentadbiran “Kerajaan Tanpa Parti” yang dicadangkan, sekalipun dengan niat yang baik.

Bentuk kerajaan yang dicadangkan hanya diperlukan ketika krisis nasional yang kritikal, seperti Britain yang pernah memiliki gabungan semua parti politik atau “Kerajaan Kebangsaan” semasa Perang Dunia Pertama, kemelesetan besar ekonomi dan Perang Dunia Kedua.

Kita boleh berhujah bahawa Malaysia sedang menghadapi “krisis”, dengan wabak Covid-19 di peringkat global dan pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Walaupun krisis ini turut dirasai di peringkat global, tiada negara lain di dunia memilih untuk menghadapi cabaran ini dengan menguburkan demokrasi dan amalan politik mereka dengan menyerahkan kuasa kepada seorang pemimpin yang berkuasa mutlak.

Ada tiga pilihan yang dibuat oleh ahli Parlimen di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong: Anwar sebagai PM, Dr Mahathir sebagai PM atau pembubaran Parlimen.

Tidak wujud kesepakatan dalam kalangan semua ahli Parlimen, dan saya percaya pilihan dengan blok sokongan terbesar iaitu Anwar, wajar dipertimbangkan.

Dr Mahathir sering menjadikan Jepun sebagai contoh, tetapi pasca Perang Dunia Kedua negara itu tidak pernah mengambil jalan yang dicadangkan olehnya apalagi menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada seseorang tanpa semak dan imbang.

Krisis utama yang dihadapi Malaysia pada masa ini adalah dicipta oleh “pengkhianat” dalam Langkah Sheraton. Mereka menolak muafakat dan manifesto PH.

Tiada keperluan mendesak untuk satu “Kerajaan Tanpa Parti”. Malah, manfaat daripada bentuk kerajaan ini juga boleh dipersoalkan.

Kita mesti membenarkan proses Perlembagaan negara kita untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Mengetepikan “politik” tidak akan membantu meningkatkan ekonomi kita atau memadam rasa prejudis di antara kaum yang berbeza di negara kita. – 27 Februari, 2020.

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah ahli Parlimen Setiawangsa dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen