Tidak perlu pilihan raya semula, kata 2 Adun Pulau Pinang


Zaim Ibrahim

Adun Bertam, Khalib Mehtab Mohd Ishaq menegaskan mereka tidak keluar parti, sebaliknya hanya keluar Pakatan Harapan. – Gambar Facebook, 27 Februari, 2020.

DUA Adun Bersatu di Pulau Pinang iaitu Khalib Mehtab Mohd Ishaq (Adun Bertam) dan Zulkifly Md Lazim (Adun Teluk Bahang) menegaskan mereka masih wakil rakyat yang sah dan undang-undang anti lompat parti tidak terpakai sehingga memerlukan pilihan raya semula di dua kerusi itu seperti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kata mereka, Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 terpakai untuk Adun yang melompat parti sedangkan mereka masih kekal bersama Bersatu dan ia hanya keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Adun Teluk Bahang, Zolkifly beranggapan Chow tersalah tafsir undang-undang tersebut.

Beliau juga yakin kerusi itu tidak akan dikosongkan, kerana undang-undang tersebut tidak menyatakan mereka perlu mengosongkan kerusi.

“Undang-undang itu jelas terletak kepada individu yang tukar parti. Bukan parti tukar parti. Contohnya parti A ke B atau daripada kerusi bebas ke parti lain, itulah lompat parti.

“Saya masih ahli Bersatu, kita tidak keluar parti. Saya tidak faham ketua menteri rujuk undang-undang yang mana, mungkin ada salah tafsir,” jelasnya ketika dihubungi.

Tambah Zolkifly, sekalipun kerusi itu dikosongkan, ia masih boleh dicabar di mahkamah.

“Undang-undang Persekutuan lebih tinggi daripada undang-undang negeri. Undang-undang Persekutuan meletakkan kebebasan seseorang memilih pertubuhan politik,” jelasnya.

Pada 1992, Mahkamah Agung ketika itu memutuskan undang-undang anti lompat parti yang digubal di Kelantan bertentangan dengan jaminan kebebasan berpersatuan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada November 2012, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan Adun, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokrasi.

Seksyen 14(A)(1) enakmen itu menyatakan Adun yang melompat parti perlu mengosongkan kerusinya jika,  selepas dipilih sebagai calon sebuah parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat atau diberhentikan atas sebarang alasan bagi apa jua sebab untuk menjadi ahli parti itu.

Ia juga terpakai ke atas Adun bebas yang kemudian menyertai parti politik.

Kelmarin, Chow berkata, kerajaan negeri dan speaker DUN bertanggungjawab untuk memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan dua kerusi kosong itu supaya boleh diadakan PRK.

Ia berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH, awal minggu ini.

Sementara itu, Khaliq Mehtab berkata beliau bersedia mencabar undang-undang itu.

“Saya tidak mahu komen lebih, apabila semua telah diputuskan baru saya akan bercakap. Tetapi setakat ini, saya tidak lompat parti.

“Tiada istilah lompat parti dalam kes ini, kita tunggu kata putus mahkamah.

“Tetapi jika mahkamah putuskan kerusi saya perlu dikosongkan, saya akan cabar undang-undang itu,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya bersedia jika pilihan raya semula untuk dua kerusi negeri.

“Kenyataan daripada ketua menteri Pulau Pinang saya tidak pasti apa yang beliau maksudkan, saya juga persoalkan adakah keluar gabungan (PH) dikira keluar parti.

“Kita akan fahami (undang-undang itu) tetapi jika benar-benar kerusi akan kosong, Umno sudah pasti akan bertanding,” tambahnya kepada The Malaysian Insight.

Menurut peguam, Shamser Singh Perkara 14A adalah tidak sah kerana kuasa menggubal undang-undang pilihan raya persekutuan dan negeri adalah dibawah Parlimen, menurut Butiran 6(a) Jadual ke-9, Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 14A, sekiranya sah, hanya melucutkan kelayakan Adun parti yang keluar parti atau Adun bebas yang masuk parti. 

“Di sini, kedua dua ahli Bersatu itu bertanding atas tiket PKR tetapi mereka tidak pernah menjadi ahli PKR. 

“Oleh itu, soal tukar parti tidak wujud, melainkan Mahkamah membuat tafsiran bahawa keluar PH bererti meninggalkan PKR,” jelas beliau. – 27 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen