Mukhriz menghadap Sultan Kedah pagi ini


Zaim Ibrahim

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dijadualkan mengadap Sultan Kedah untuk menyembah maklum perkembangan terkini politik semasa susulan Bersatu keluar PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2020.

MENTERI Besar Kedah Mukhriz Mahathir dijadualkan mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah pagi ini untuk menyembah maklum perkembangan terkini politik semasa susulan Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

Pertemuan itu akan diadakan selepas Mukhriz berjumpa barisan exco kerajaan negeri serta semua Adun negeri itu, dijangka pada jam 8 pagi di kediaman rasmi Menteri Besar, Sri Mentaloon.

Satu sidang media juga bakal diadakan pada 11 pagi selepas beliau pulang mengadap Sultan Kedah.

Mukhriz yang pulang dari Kuala Lumpur semalam, mengadakan pertemuan dengan barisan exconya semalam di Sri Mentaloon selama dua jam, bermula 9 malam.

Exco Kerja Raya Zamri Yusuf ketika ditemui media semalam berkata pertemuan pada malam itu akan disambung pagi ini.

“Esok pagi jumpa lagi dengan menteri besar, barisan exco dan semua Adun.

“Kita adakan perjumpaan, kita akan bincang lagi,” katanya kepada media di luar Sri Mentaloon.

Exco Wanita Halimaton Saadiah Saad pula berkata barisan exco akan buat terbaik untuk rakyat Kedah.

“Setakat ini semua baik saja. Untuk rakyat Kedah kita buat yang terbaik,” katanya ringkas yang turut ditemui selepas mesyuarat antara menteri besar dengan exco.

Ketika ditemui semalam, Mukhriz meminta masa sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Bagi saya peluang berjumpa dengan barisan exco sebelum boleh buat kenyataan sebab waktu ini banyak lagi perkara yang saya harus lakukan untuk menjamin masa depan Kedah,” katanya kepada media di Alor Setar, Kedah.

Kedah merupakan antara empat negeri yang dilihat berdepan masalah selepas Bersatu keluar PH pada Isnin lalu, susulan perkembangan politik di peringkat nasional sejak hujung minggu lalu.

Di Kedah,  tanpa Bersatu, PH – gabungan yang dibentuk oleh DAP, PKR, dan Amanah – mempunyai jumlah kerusi yang kurang berbanding pembangkang PAS dan Umno.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh berkata walaupun Bersatu keluar dari PH, Mukhriz dan 5 wakil rakyat Bersatu sedia membentuk kerajaan bersama untuk mengekalkan pentadbiran sedia ada.

“Tidak berlaku tukar kerajaan. Mukhriz bersetuju untuk kekal bersama PH. Dia tidak mahu PAS dan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PH membentuk kerajaan di Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 dengan majoriti tipis dua kerusi.

DAP, PKR, dan Amanah mempunyai keseluruhan 13 kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH. Kerajaan Kedah dibentuk dengan gabungan 6 kerusi Bersatu, 7 PKR, 4 DAP dan 2 Amanah.

Umno dan PAS, yang menjalin kerjasama politik secara rasmi sejak September lalu, mempunyai keseluruhan 17 kerusi, dengan PAS 15 kerusi dan Umno 2. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen