AHLI Dewan Undangan Negeri Ba Kelalan, Baru Bian gagal dalam cubaannya untuk mempercepatkan pindaan berhubung Kanun Tanah Sarawak, berikutan gesaan oleh pemilik tanah Dayak.
Beliau yang juga ketua PKR Sarawak meminta kebenaran daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk membawa usul persendirian pindaan berkenaan, bagi memberi kuasa undang-undang dan pengiktirafan kepada amalan Dayak bagi pemilikan tanah.
Pindaan itu dijanjikan oleh kerajaan negeri pada sidang dewan, namun Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas yang mempengerusikan jawatankuasa “pemakai menoa” dan “Pulau Galau” untuk mencadangkan pindaan itu berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap tanah hak adat asli (NCR) pada bulan lalu menyebabkan ia dijadualkan semula.
Usul Baru untuk mendapatkan kebenaran ditolak kerana ia melanggar Peraturan Tetap 82 yang menyatakan “tiada ahli akan hadir di hadapan Dewan (dewan perundangan) atau mana-mana jawatankuasanya dalam mana-mana kapasiti yang dia akan menerima bayaran atau ganjaran atau sebagai peguam bela bagi mana-mana pihak”.
Speaker Mohamad Asfia Awang Nasser yang menolak usul itu berkata, Dewan Undangan Negeri (Keistimewaan-keistimewaan dan Kuasa-kuasa) Ordinan 2007 menyatakan “tiada ahli akan, di Dewan atau mana-mana jawatankuasa, tanpa kebenaran Speaker atau pengerusi atau jawatankuasa, membangkitkan, mengucapkan atau mendapatkan sokongan di kalangan anggota bagi apa-apa perkara atau cadangan atau skim bagi pihak mana-mana pelanggan atau orang yang dia bertindak dalam keupayaan profesional, atau untuk ganjaran dalam bentuk wang atau bentuk lain “.
Asfia berkata, Baru merupakan peguam bela kepada kes tanah NCR, yang mana beliau muncul di mahkamah untuk tujuan itu.
Speaker itu berkata, amalan Parlimen, ahlinya perlu mengisytiharkan “apa-apa kepentingan atau ganjaran yang relevan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang beliau miliki atau dijangka akan miliki”.
Seolah-olah menjelaskan kegagalan kerajaan untuk memajukan pindaan tersebut, Asfia berkata kerajaan negeri memerlukan masa untuk menggubal pindaan yang lebih komprehensif dan mendalam kepada Kanun Tanah.
Dalam pengundian berikutnya, kesemua 10 wakil rakyat pembangkang memberi sokongan, sementara 58 Adun BN yang hadir tidak menyokongnya.
Pemilik tanah Dayak menggesa untuk perubahan kepada undang-undang tanah berikutan dua keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan NCR Dayak “pemakai menoa” dan “pulau galau” tiada kuasa undang-undang dan tuntutan kepada tanah NCR hanya untuk “temuda” (tanah pertanian) sahaja.
Pada 13 Oktober, keputusan Mahkamah Persekutuan sekali lagi menberi tamparan kepada masyarakat Dayak kerana membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dengan memutuskan Seksyen 132 Kanun Tanah melindungi ketidakpatuhan hak pajakan, walaupun NCR dicipta untuk tanah yang diasingkan.
Mahkamah itu turut memutuskan pemilik tanah adat tudak lagi boleh menuntut kembali tanah mereka, dan hanya boleh mendapatkan pampasan untuk kerugian mereka.
Masyarakat Dayak bagaimanapun berkata, mereka tidak berminat dengan wang pampasan dan hanya mahukan tanah mereka. – 10 November, 2017.
Komen