Iran masih patuh pada perjanjian nuklear, kata PBB


Pengarah Pemerhati Nuklear PBB, Yukiya Amano mengesahkan Iran masih mematuhi perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015. – Gambar EPA, 10 November, 2017.

PENGARAH Pemerhati Nuklear PBB Yukiya Amano semalam mengesahkan Tehran mematuhi perjanjian nuklear 2015 dalam pertemuan dengan duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley, menurut agensi.

Ia merupakan pertemuan kedua antara Haley dan ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)—dengan yang pertama berlaku pada Ogos ketika lawatan Haley ke ibu pejabatnya di Vienna, di mana beliau meminta kawalan yang lebih ke atas Iran.

Sejak lawatan itu, Presiden Donald Trump pada Oktober menamatkan perjanjian dengan Iran, dan memberi amaran bahawa Washington mungkin akan menamatkan “salah satu daripada perjanjian paling teruk” dalam sejarah, meletakkan nasibnya di tangan Kongres.

Sebagai pertukaran untuk kawalan bagi menghalang Iran daripada membangunkan bom atom, perjanjian tersebut bertujuan untuk menamatkan sekatan secara berperingkat.

Dalam satu kenyataan, IAEA berkata Haley dan Amano “membincangkan pengesahan IAEA dan memantau pelaksanaan Iran dalam komitmen berkaitan nuklear” di bawah perjanjian dengan enam kuasa dunia - AS, Rusia, China, Perancis, UK dan Jerman.

Amano juga mengulangi penilaiannya bahawa perjanjian tersebut “mewakili keuntungan besar bagi pengesahan nuklear”, dan komitmen berkaitan nuklear Iran “sedang dilaksanakan.”

Ketua IAEA memberi jaminan kepada Haley bahawa agensi tersebut “setakat ini mempunyai akses ke semua lokasi yang diperlukan untuk melawat” Iran, dan akan terus berkerja “secara adil dan berpandukan fakta.”

Sementara itu, misi AS ke PBB menyatakan penghargaan Haley terhadap “kepakaran dan profesionalisme” pemerhati PBB.

Haley memberi jaminan AS akan menyokong IAEA “dalam menjalankan pengesahan aktiviti-aktiviti berkaitan nuklear di Iran”—juga menekankan pentingnya “akses penuh dan telus bagi IAEA” di Iran.

Amano kini sedang dalam lawatan ke AS, di mana beliau telah bercakap dengan ahli Kongres dan akan menyampaikan ucapan ketika Perhimpunan Agung PBB hari ini. – AFP, 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen